Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganugerahkan dua jaguh boling padang negara, Muhammad Soufi Rusli dan Emma Firyana Saroji, sebagai Olahragawan dan Olahragawati PDRM 2025 atas pencapaian cemerlang di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.
Soufi mengukuhkan reputasi selaku tonggak utama negara apabila membantu Malaysia meraih kejayaan di peringkat Asia termasuk melengkapkan koleksi pingat emas kategori senior, manakala Emma Firyana mencuri tumpuan selepas muncul juara acara wanita dalam Piala Dunia Boling Padang 2025.
Advertisement
Bagi Emma Firyana, pengiktirafan itu menjadi azimat terbaiknya untuk terus mencipta sensasi dengan sasaran utama menyumbang pingat dalam Sukan Komanwel pada Julai depan.
"Anugerah ini menjadi pembakar semangat buat saya kerana sudah lama majlis sebegini tidak diadakan.
"Keputusan untuk keluar daripada persaraan dan saya bersyukur atas kemenangan ini.
"Saya perlu kekalkan disiplin, baik ketika bertugas (sebagai anggota PDRM) mahupun sebagai atlet.
"Saya akan cuba menempatkan diri dan berikan yang terbaik ketika mewakili negara dalam Sukan Komanwel," katanya.
Fasa persiapan berbentuk latihan intensif telah bermula termasuk perlawanan persahabatan serta menyertai kejohanan boling padang Seven Nations di Kompleks Sukan Bukit Kiara bermula 10 hingga 14 Februari depan.
Justeru, Soufi berharap balingan mereka akan terus dipertajamkan pada ketika boling padang dianggap sebagai lubuk pingat negara di Glasgow, Scotland nanti.
"Kami akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan antara pasukan terkuat dunia, Australia, pada minggu ini.
"Kami juga akan menghadapi Kejohanan Tujuh Negara sebagai persiapan ke Sukan Komanwel pada Julai depan.
"Dengan ketiadaa hoki dan badminton dalam Sukan Komanwel, tekanan memang ada untuk menghadiahkan pingat buat Malaysia," katanya.