Skip to main content

Bola Sepak

Ronaldo tak minum susu -- Rahsia diet Cristiano Ronaldo terbongkar

Ronaldo tak minum susu -- Rahsia diet Cristiano Ronaldo terbongkar

Di sebalik fizikal luar biasa dan ketahanan luar jangka pada usia 41 tahun, Cristiano Ronaldo terus membuktikan bahawa disiplin adalah kunci utama kejayaan. Terbaharu, bekas chef peribadinya mendedahkan satu fakta menarik -- bintang itu mengharamkan satu jenis minuman dalam diet hariannya.

Menurut chef tersebut, Ronaldo secara tegas mengelak susu kerana percaya ia tidak sesuai untuk tubuh manusia dewasa dan dianggap 'bertentangan dengan alam semula jadi'.

Advertisement

Pendedahan ini sekali lagi menyerlahkan betapa telitinya Ronaldo dalam menjaga pemakanan. Diet hariannya dibina berasaskan prinsip tanpa gula tambahan, tanpa makanan berasaskan tepung seperti roti atau pasta, fokus kepada protein berkualiti seperti ikan dan ayam serta sayur-sayuran sebagai sumber utama nutrien.

Malah, sarapannya juga cukup ringkas -- telur, avokado dan kopi tanpa gula, mencerminkan pendekatan minimalis tetapi efektif.

Menurut penjelasan chef berkenaan, Ronaldo melihat pengambilan susu selepas usia bayi sebagai sesuatu yang tidak perlu.

"Manusia adalah satu-satunya spesies yang minum susu haiwan selepas tempoh bayi -- dan itu dianggap tidak normal,"katanya..

Sebagai alternatif, Ronaldo lebih cenderung kepada sumber nutrisi lain yang lebih mudah diserap tubuh tanpa risiko keradangan atau gangguan pencernaan.

Ini bukan kali pertama Ronaldo mencuri perhatian dengan pendekatan dietnya. Sebelum ini, dia juga pernah, menolak minuman bergas secara terbuka, menggalakkan orang ramai minum air kosong dan mengamalkan rutin pemakanan bersih sepanjang karier.

Semua ini dilakukan demi satu matlamat -- memanjangkan jangka hayat karier di tahap tertinggi.

Walaupun kebanyakan pemain sudah bersara atau menurun prestasi, Ronaldo masih mampu bersaing di peringkat elit bersama Al-Nassr dan terus menjadi sandaran utama pasukan serta negara.

Apa yang dianggap kecil seperti pemilihan minuman, sebenarnya memberi impak besar dalam dunia sukan profesional.

Bagi Cristiano Ronaldo, tiada ruang untuk kompromi -- setiap pilihan, termasuk menolak segelas susu, adalah sebahagian daripada strategi untuk kekal di puncak.

Dan hasilnya? Legenda yang masih relevan, walaupun usia terus meningkat.

Sumber: Daily Mail

Must Watch Video