Tiga tahun penuh sensasi.
Persib Bandung rasmi mengukir sejarah apabila menjadi satu-satunya kelab di Indonesia meraih gelaran juara tiga kali berturut-turut sejak musim 2023/24 walaupun kejuaraan kali ini sukar ditentukan pada saat akhir.
Keputusan penuh dramatik terhasil meskipun Maung Bandung sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Persijap Jepara pada perlawanan terakhir Liga Super Indonesia di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA) semalam.
Tahukah anda? Kedudukan tempat pertama dan kedua antara skuad kendalian Bojan Hodak itu dan Borneo Samarinda terikat dengan jumlah pungutan mata yang sama iaitu 79. Namun, juara bertahan lebih unggul untuk merangkul hatrik apabila memiliki kelebihan menerusi sistem 'head-to-head (H2H)'.
Kedudukan Pangeran Biru di tangga teratas tidak tergugat, biarpun Borneo mencatatkan kemenangan besar 7-1 ke atas Malut United.
The Night of Champions. Satu malam, sejuta kebanggaan🏆👑💙#PERSIBDAY #WeArePERSIB #PERSIBThreepeatChampions #PANCATAKHTA pic.twitter.com/vLoJl2PrMb
— PERSIB (@persib) May 23, 2026
Sistem H2H yang digunakan dalam penentuan kedudukan carta liga musim ini memberi kelebihan buat Persib. Walaupun berkongsi mata yang sama dengan perbezaan gol yang lebih baik, Borneo tetap tidak mampu memotong kedudukan Persib.
Ia, sekali gus menjadi koleksi trofi kedua buat bekas pengendali skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) itu di bumi Indonesia sejak 2024/25.
Pasukan bimbingan bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City itu difahamkan akan mengetuai wakil Indonesia sekali lagi ke kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi memperbaiki pencapaian musim ini apabila bergelar juara kumpulan dan mara ke peringkat kalah mati.
Namun, tanda tanya bermain di fikiran peminat tatkala kemas kini di laman transfermarkt menyaksikan kontrak Bojan Hodak, 55, akan berakhir hujung bulan ini.