Pihak Liberty Media kini membuat penilaian dengan melihat keperluan sepertimana yang dilakukan oleh Formula 1 dengan setiap pasukan MotoGP perlu memiliki pelumba simpanan secara tetap.
Idea tersebut hadir ketika berlangsungnya perbincangan dengan Motosports.com selepas melihat keperluan tersebut ketika ramai dikalangan pelumba yang ada mengalami kecederaan akibat kemalangan yang meningkat selain jadual yang agak padat.
Advertisement
Ketika ini MotoGP hanya memiliki pelumba ujian sahaja dalam setiap pasukan di mana fungsi mereka hanya untuk menguji setiap jentera yang bakal digunakan secara rasmi oleh mereka tetapi bukan bertindak sebagai penunggang yang boleh digantikan pelumba utama mereka bagi sesetengah kes.
Komitmen selaku pelumba simpanan juga katanya bakal menuntut komitmen yang tinggi apabila perlu memenuhi setiap jadual pusingan perlumbaan berbanding sekadar menjadi pelumba ujian.
Dengan mengambil contoh yang dilakukan oleh pasukan Ducati Lenovo yang terpaksa mengambil pelumba daripada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Nicolo Bulega bagi menggantikan Marc Marquez sedikit masa lalu, kepentingan untuk pelumba simpanan adalah sebenarnya amat tinggi untuk setiap pasukan.
Malah dalam kes tersebut, Bulega terpaksa menunggu sehingga tamat sepenuhnya musim perlumbaan WSBK untuk memenuhi jemputan pasukan itu bagi menggantikan Marquez.
Justeru, kewujudan pelumba simpanan secara kekal dirasakan sangat relevan dan memenuhi tuntutan keperluan bagi melengkapkan siri pusingan perlumbaan bagi setiap pasukan yang bertanding dalam MotoGP.