KL2017
Sukan SEA: Skuad bola jaring enggan dibuai kemenangan
Skuad bola jaring negara enggan terus dibuai kemenangan pertama sambil menyifatkan setiap perlawanan berbeza, malah perlu bersedia untuk menghadapi aksi kedua berdepan Brunei, esok.
Barisan pemain negara mempamerkan aksi meyakinkan untuk meraih kemenangan ke atas Thailand dengan keputusan 73-30 hari ini.
Penjaring berbisa, An Najwa Azizan dan Izyan Syazana Mohd Wazir mencuri tumpuan apabila berjaya melakukan jaringan dengan berkesan.
Iklan
Thailand selaku pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 gagal mendapatkan rentak permainan yang berkesan bermula dari awal perlawanan yang membenarkan tuan rumah garang memburu jaringan.
Penyerang negara, Izyan Syazana, mengakui tekanan beraksi dalam perlawanan pertama, namun ia tidak mengganggunya untuk mempamerkan persembahan terbaik.
"Beraksi di tempat sendiri, saya mengakui kami memang gugup tetapi selepas mendapat sokongan daripada rakan sepasukan, saya dapat memperbaiki lontaran saya sepanjang perlawanan ini," katanya.
Sementara itu, An Najwa menyifatkan Malaysia mempamerkan persembahan yang cemerlang dan berjaya mengikut setiap perancangan yang disediakan jurulatih.
"Saya berbangga dengan persembahan yang telah dipamerkan oleh pasukan, kami berjaya mengekalkan taktikal permainan sehingga tamat perlawanan," katanya.
"Kami mempunyai strategi sendiri dan kami benar-benar berjaya melaksanakannya.
"Thailand memberikan saingan yang hebat, namun kami berjaya mengatasi mereka," tambahnya.
Bakal berdepan Brunei dalam aksi kedua, skuad kendalian Tracey Robinson ini tetap menganggap lawan mereka bukan calang-calang.
Justeru, strategi berbeza akan ditampilkan oleh mereka untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam aksi esok.
Must-Watch Video