Skuad e-sukan negara dalam kategori Arena of Valor (AOV) selangkah untuk mencipta sejarah dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.
Ini susulan kejayaan mereka layak ke separuh akhir acara berkenaan, sekali gus mengesahkan kilauan pingat buat kontinjen negara -- sekurang-kurangnya gangsa.
Skuad yang dibentuk bagi misi meraih pingat ini terdiri daripada pemain dalam kalangan usia 18 hingga 21 tahun dan mereka mengekalkan disiplin sepanjang permainan untuk menewaskan Hong-Kong 2-0 hari ini.
Menurut ketua jurulatih skuad negara, Low Jia Cheng, faktor utama kemenangan itu adalah pemilihan hero yang tepat dan strategi serangan berpasukan yang teratur.
Jia Cheng berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Hong Kong sudah pasti lawan yang kuat dalam permainan ini.
"Kami menang 2-0 walaupun kami agak gugup kerana kami tidak boleh kalah. Jika kalah, esok kami perlu pulang ke Malaysia.
"Esok adalah hari separuh akhir dan jika kami menang ke atas Vietnam, kami dapat memastikan pingat perak dan akan bersaing dalam aksi final pada 27 September ini.
"Kami agak yakin untuk perlawanan esok dan sekiranya menang, kami dapat memastikan sekurang-kurangnya pingat perak buat Malaysia.
"Kami harap ini akan menjadi peluang untuk semua pihak menyokong kami kerana e-sukan memiliki potensi untuk memenangi pingat pada masa akan datang," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Sep 24 2023