Selangor hanya selangkah lagi dalam misi mempertahankan pingat emas futsal dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas berjaya menewaskan Johor 5-3 dalam aksi separuh akhir di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Shah Alam, petang tadi.
Diketuai bintang futsal negara Syahir Iqbal Khan Akbar, Selangor ternyata memperagakan aksi bertenaga dan intensiti tinggi sehingga membuatkan Johor berputih mata.
Abdul Aiman Syahmi membuka tirai jaringan buat Johor pada minit kelima sebelum Amir Ammar menyamakakan kedudukan tiga minit kemudian buat Selangor.
Muhammad Aidil Zakwan kemudian menambah dua jaringan buat Selangor untuk melebarkan kelebihan kepada 3-1 sebelum Johor bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan di minit ke-27 dan ke-36 oleh Muhammad Syaifullah Sulaiman serta Muhammad Farhat.
Selangor mengesahkan kemaraan ke final dengan tambahan dua jaringan dan mereka akan berdepan pemenang di antara Pulau Pinang atau Wilayah Persekutuan dalam aksi perebutan pingat emas.
Pada edisi 2024, Selangor menundukkan Sarawak 2-0 di Stadium Tertutup Kota Samarahan sekali gus memenangi pingat emas pertama sejak acara itu diperkenalkan 2014.