40 atlet yang mewakili Persatuan Sukan Orang Pekak Kelantan (KelSDeaf) kemungkinan akan menarik diri daripada menyertai Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 7 Oktober ini di Sarawak.
Presidennya, Saiful Helmie Dzamani berkata, keputusan tersebut terpaksa dibuat jika tiada sumbangan dana diterima pihaknya hingga 20 September ini.
Advertisement
"Kami sudah berusaha, namun hingga ke hari ini masih menemui jalan buntu.
"Jika masih tiada pihak yang sudi menyumbang, pilihan yang ada hanya menarik diri," katanya semasa sidang akhbar di Tunjung di sini pada Rabu.
Saiful Helmie memberitahu, lebih memilukan apabila terdapat kemungkinan atlet-atlet dari Kelantan akan berhijrah dan menyertai negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, ketiadaan sumbangan itu menunjukkan seolah-olah atlet pekak dipinggirkan.
"Kami berjuang demi nama Kelantan. Kami berlatih menggunakan dana sendiri dan mengorbankan masa. Penyertaan kami di Sopma untuk mengharumkan nama Kelantan dengan membawa pulang pingat kemenangan bukannya berseronok.
"Hari ini kami sekali lagi merayu kepada Kerajaan Kelantan, syarikat swasta dan sesiapa sahaja yang sudi memberi sumbangan untuk menaja kami beraksi di Sopma," katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM100,000 untuk menyertai sukan tersebut namun RM60,000 sudah mencukupi untuk mendanai perbelanjaan mereka ke Sarawak walaupun terpaksa 'mengikat perut'.
Setakat ini katanya, mereka sudah mempunyai sekitar RM34,000 yang mana RM10,000 disumbangkan oleh Kerajaan Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (RM20,000) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim (RM4,000).
"Kami memerlukan sebanyak RM26,000 lagi untuk membawa nama Kelantan pada kejohanan ini nanti," katanya.
Sementara itu Dr Hafidzah yang turut sama hadir pada sidang akhbar berharap KelSDeaf tidak akan menarik diri daripada menyertai Sopma.
"Saya harap ada pihak yang akan memberikan bantuan dana kepada mereka," katanya. -- Sinar Harian