Skip to main content

Bola Sepak

'Ulang-alik Melaka ke Shah Alam setiap hari demi anak, harap dapat kekang JDT'

Faiz

Di saat Melaka melangkah ke suku akhir Piala Malaysia, suasana latihan pasukan tampak tenang, namun hati seorang pemain sedang bergelora.

Setiap hari, dia setia berulang-alik dari Melaka ke Kota Kemuning, Shah Alam -- perjalanan jauh yang tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus berlatih bersama pasukan.

Advertisement

Faiz Mazlan menyifatkan situasi berada di sisi anak tercinta yang kurang sihat merupakan satu ujian yang lebih berat daripada tekanan di atas padang.

Menjelang perlawanan penting timbal balik kedua berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Faiz dijadualkan terus bergerak ke Melaka bagi membantu pasukan malam ini.

"Alhamdulillah, anak saya baru sahaja dibenarkan pulang daripada hospital, cuma saya agak sukar sedikit kerana keluarga di Kuala Lumpur (KL).

"Setakat ini, saya dapat melakukan dengan baik antara keluarga dan kerjaya walaupun jauh.

"Anak saya mengalami penyakit virus dalam darah. Sekarang, tahap semakin baik," katanya di Nadi Arena.

Di sebalik ketenangan wajahnya, tersembunyi doa dan harapan seorang ayah.

Meskipun Harimau Selatan memiliki kelebihan agregat 5-0, Faiz menyifatkan ini sebagai pertarungan hati, jiwa dan ketabahan seorang ayah yang cinta kepada anaknya.

"Jarak perjalanan bukan masalah bagi saya.

"Cuma, saya mahu berkhidmat untuk keluarga terlebih dahulu.

"Saya harap apa yang saya lalui memberi semangat.

"Rakan sepasukan turut menyokong saya," tambahnya. 

Must Watch Video