Skip to main content

Bola Sepak

Bekas bintang Negeri Sembilan jual laksa, tunggu kontrak baru bersama kelab Liga A2

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Nasrullah

Dari padang ke sebuah gerai, realiti baru bekas pemain bola sepak.

Hasrat Nasrullah Hanif Johan untuk menamatkan karier bersama Negeri Sembilan tidak kesampaian dan memaksa dirinya mencari solusi pendapatan harian yang lain.

Advertisement

Bekas kapten Negeri Sembilan yang meninggalkan skuad Jang pada tahun lalu, kini mengisi bulan Ramadan dengan berniaga laksa bagi menampung keperluan harian keluarga.

"Isteri memang membuat juadah laksa, dan resipi juga daripada keluarga isteri.

"Alhamdulillah, sambutan menggalakkan. Setakat lima hari berpuasa semuanya habis terjual," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.

Nasrullah tidak lagi beraksi dalam Liga Super, malah kontrak bersama kelab Liga A2 juga telah tamat, dia meneruskan alternatif pencarian sumber pendapatan di luar padang.

"Sekarang, saya tiada pasukan.

"Sebab itu saya dan keluarga berniaga dahulu.

"Mungkin, memasuki musim baharu Insya-Allah saya akan bersama AAK lagi," tambahnya.

Bagi dirinya, perubahan fasa dalam karier bukan penamat. Bola sepak masih menjadi keutamaan, namun keluarga tetap nombor satu.

"Apabila sudah seronok berniaga, maka banyak juga perancangan pada masa hadapan.

"Mungkin hasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan. Atau mahu membuka restoran.

"Jika diizinkan Allah, Insya-Allah," katanya lagi.

Must Watch Video