Pengerusi Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin bin Harun, menjawab isu peletakan jawatan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, berbaki lapan lagi perlawanan Liga Super musim ini.
Tekanan daripada penyokong dan perbezaan corak permainan menjadi perbincangan utama berkenaan keputusan pengunduran bekas pengendali Selangor itu.
Advertisement
"Kami mengucap terima kasih kepadanya.
"Sebenarnya, ia membuka mata kita bahawa NSFC boleh berubah.
"Tetapi tidak boleh bertahan lama. Itu yang menjadi persoalan di kalangan peminat.
"Pada awal musim bermain dengan sangat baik. Tetapi kini nasib terus malang apabila belum mencatatkan sebarang kemenangan tahun ini.
"Corak pemainan berbeza. Penyokong pastinya tidak boleh menerima perkara tersebut.
"Kami mengambil maklum bahawa kelab memerlukan perubahan dalam keadaan mengikut kemampuan.
"Saya berharap perubahan dapat dilaksanakan.
Aminuddin dalam masa sama berharap skuad Jang mengekalkan fokus dan meraih kemenangan pada aksi seterusnya.
Katanya lagi, pasukan Hobin Jang Hobin wajib mencatatkan mata maksimum di bawah tanggungjawab para pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan bagi memastikan kedudukan baik dapat diperbaiki.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Faliq Firdaus Muhammad Rom, menjawab tentang spekulasi pengganti Nidzam Jamil tatkala posisi tersebut digalas oleh pembantu jurulatih, K. Rajan, sebagai interim hingga tamat musim ini.
"Keputusan diambil setelah mengharungi beberapa perbincangan yang jujur tentang bola sepak.
"Nidzam mengendalikan situasi ini dengan profesional.
"Perancangan mengenai pengganti Nidzam Jamil sedang dibincangkan bersama pengerusi mengenai proses selanjutnya.
"Kelab kekal stabil dan proses pemulihan berjalan lancar cuma di persimpangan," katanya.
Negeri Sembilan pada hari sama turut mengumumkan tiga pemain muda termasuk bekas bintang, Norhafiz Zamani Misbah, ke kelab Jepun bagi menjalani latihan dan percubaan selama sebulan bermula pada hujung Februari ini.