Kem latihan skuad kebangsaan Korea Selatan menjelang Piala Dunia 2026 bertukar kecoh selepas dua wartawan secara tidak sengaja merakam dan menyiarkan perbualan peribadi mereka mengenai kapten pasukan, Son Heung-min, ketika sesi latihan berlangsung.
Insiden memalukan itu berlaku ketika siaran langsung sesi latihan Korea Selatan yang menampilkan Son menjalani latihan fizikal intensif bersama rakan sepasukan. Tanpa menyedari mikrofon mereka masih aktif, kedua-dua wartawan terbabit didakwa melontarkan komen sinis mengenai bintang Los Angeles FC itu.
🇰🇷🆕 | There has been an uproar today of some comments caught on hot mic allegedly made by Korean media while the KNT was jogging, belittling Son Heung-min and the KNT because they haven’t gone to the army.
Comments were initially aimed at Son Heung-min when an unspecified… pic.twitter.com/APD2DaZlSh— Joel Kim (@KNTFootball) June 9, 2026
Menurut rakaman yang tular di media sosial, salah seorang wartawan mempersoalkan gaya larian Son ketika menjalani latihan.
“Kenapa dia berlari macam sedang mengetuai platun tentera? Adakah dia fikir dia dalam tentera?” katanya.
Seorang lagi wartawan kemudian membalas dengan kenyataan yang lebih kontroversi.
“Dia pun tidak pernah menamatkan perkhidmatan tenteranya. Mereka ini langsung tidak tahu apa-apa tentang tentera.”
Perbualan tersebut dipercayai didengari oleh ribuan penonton yang mengikuti siaran langsung sesi latihan itu, sebelum klip rakaman berkenaan pantas menjadi tular di pelbagai platform media sosial.
Insiden itu segera mencetuskan kemarahan penyokong Korea Selatan yang menyifatkan komen berkenaan sebagai tidak profesional dan tidak menghormati jasa Son terhadap negara.
Ramai peminat turut tampil mempertahankan pemain berusia 33 tahun itu dengan menjelaskan bahawa Son sebenarnya telah menerima pengecualian daripada perkhidmatan ketenteraan penuh selepas membantu Korea Selatan memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Mengikut undang-undang Korea Selatan, atlet yang meraih pingat emas di Sukan Asia atau pingat di Sukan Olimpik layak menerima pengecualian khas daripada menjalani latihan ketenteraan penuh selama hampir dua tahun. Namun mereka masih perlu mengikuti latihan asas ketenteraan untuk tempoh tertentu serta melengkapkan khidmat komuniti yang ditetapkan kerajaan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), Son Heung-min atau organisasi media yang terlibat berhubung insiden tersebut.
Kontroversi itu hadir pada saat Korea Selatan sedang membuat persiapan akhir menjelang kempen Piala Dunia 2026, dengan Son sekali lagi menjadi tonggak utama skuad kendalian Hong Myung-bo.
Walaupun isu tersebut hangat diperkatakan dalam kalangan peminat, fokus utama Son dijangka kekal tertumpu kepada cabaran di atas padang ketika Korea Selatan berusaha mencipta kejayaan di pentas Piala Dunia.
Nota: Dakwaan mengenai perbualan wartawan ini tular di media sosial, namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada pihak penyiar atau Persatuan Bola Sepak Korea mengenai rakaman tersebut.