Menjelang pendengaran rayuan kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis ini, pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli, menyeru semua pihak untuk kekal bertenang sambil menegaskan apa jua keputusan yang keluar perlu diterima secara matang.
Ia perlu dijadikan anjakan paradigma baru untuk memperkukuhkan tadbir urus bola sepak negara, tidak hanya melihat soal menang atau kalah semata-mata.
Advertisement
Pekan turut menekankan bahawa isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan reputasi bola sepak negara di pentas antarabangsa, yang memerlukan perhatian serius dan langkah pembetulan dilaksanakan supaya kontroversi sama tidak berulang.
"Kita perlu tenang dalam keadaan sekarang," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
"Apapun yang berlaku, apa jua keputusan, kita perlu melihat ke depan dan berharap ia akan menjadi satu anjakan paradigma yang baru buat bola sepak kita.
"Jika kita tidak bersalah sekali pun, kita perlu juga melihat daripada aspek mana yang memberikan kita kemenangan di CAS.
"Mungkin kita menang kerana 'loop hole' sahaja yang melibatkan perkara teknikal, jadi kita perlu melihat secara prinsipnya, daripada segi kesalahannya, adakah ia memang berlaku?
"Daripada itu, kita perlu sedar dan perlu memisahkan minyak dengan air, kesalahan dengan perkara betul tidak boleh bercampur.
"Kita tidak mahu ia berulang kerana ia telah menjejaskan nama baik bola sepak negara kita."
Keputusan CAS dijangka akan diketahui seawalnya pada awal pagi Jumaat ini.