Skip to main content

Bola Sepak

Messi ‘lempar’ bola ke muka lawan ketika Inter Miami diaibkan Columbus Crew

Messi ‘lempar’ bola ke muka lawan! Inter Miami diaibkan 0-3, kini di ambang penyingkiran
Advertisement

Lionel Messi mencetuskan kontroversi apabila membaling bola tepat ke muka pemain lawan ketika cuba mengambil lontaran ke dalam, dalam aksi yang menyaksikan Inter Miami dibelasah Columbus Crew 0-3 pada perlawanan pertama pusingan pertama playoff MLS 2026.

Insiden panas itu berlaku menjelang tamat babak pertama apabila Messi cuba melakukan lontaran pantas, namun pemain Columbus, Gonzalo Tapia, berada terlalu hampir dengannya sehingga menghalang usaha bintang Argentina itu meneruskan permainan.

Advertisement

Tapia dilihat seolah-olah cuba berundur, tetapi masih berada dalam laluan lontaran Messi. Tanpa menunggu lebih lama, kapten Inter Miami itu tetap melontarkan bola sebelum tepat mengenai muka pemain lawan berkenaan.

Tapia terus terjatuh ke padang, sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pasukan.

Advertisement

Pengadil kemudian melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain atas tindakan masing-masing, dengan Tapia dihukum kerana menghalang permainan manakala Messi pula kerana tindakannya yang membahayakan lawan.

Messi bagaimanapun terlepas daripada hukuman lebih berat meskipun insiden itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong di media sosial, dengan ada yang berpendapat tindakan tersebut sepatutnya membawa kepada layangan kad merah.

Bintang berusia 39 tahun itu mempertahankan tindakannya dengan alasan hanya mahu mengambil lontaran pantas, manakala Tapia dianggap berada di laluan bola.

Namun, persoalan sama ada lontaran itu disengajakan atau sekadar tindakan spontan ketika permainan berlangsung terus menjadi perbualan.

Di sebalik kontroversi itu, Inter Miami berdepan tugas lebih getir apabila tewas 0-3 di laman sendiri dalam aksi pembukaan siri playoff tersebut.

Columbus yang hanya menamatkan saingan musim biasa di tangga ketujuh Persidangan Timur membuktikan mereka bukan lawan mudah apabila Gonzalo Tapia membuka jaringan menerusi sepakan penalti seawal minit kesembilan sebelum Inter Miami kehilangan Gonzalo Lujan akibat kad merah pada minit ke-36.

Kekurangan seorang pemain menyukarkan usaha tuan rumah untuk bangkit, malah Columbus menghukum mereka menerusi dua jaringan pantas pada minit ke-52 dan ke-58.

Kekalahan itu meletakkan Inter Miami dalam situasi berbahaya, namun peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan MLS Cup masih belum tertutup.

Ini kerana pusingan pertama playoff menggunakan format terbaik daripada tiga perlawanan dan bukannya agregat. Justeru, Messi dan rakan sepasukan perlu menang dalam aksi kedua di gelanggang Columbus minggu depan untuk mengheret siri itu ke perlawanan penentuan.

Inter Miami boleh mengambil sedikit keyakinan daripada rekod sebagai pasukan terbaik di tempat lawan dalam MLS musim ini dengan mengumpul 10 kemenangan, dua lebih banyak berbanding mana-mana pasukan lain.

Namun, selepas dikejutkan dengan kekalahan besar di laman sendiri, tekanan kini memuncak buat Messi dan Inter Miami.

Mereka bukan sahaja perlu mencari jalan untuk menghidupkan semula kempen mempertahankan kejuaraan, malah perlu memastikan kontroversi di atas padang tidak terus membayangi misi mereka dalam playoff kali ini.

Anda mungkin berminat dengan

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Must Watch Video