“Pertahankan status generasi emas sepak takraw “
Itu sentimen perkongsian peribadi dan aspirasi perejam tersohor negara era 80 dan 90-an, Baharum Jahar, merujuk kepada lakaran sejarah baru yang diukir skuad kendalian Ahmad Jais Baharun sejak kebelakangan ini.
Advertisement
Sensasi skuad sepak takraw negara sedang menjadi bualan hangat peminat sukan dan berjaya mengembalikan reputasi gah yang dimiliki sejak empat dekad yang lalu.
Kejayaan terbaru yang dilakar kem negara hadir dalam bentuk kilauan emas Sukan SEA Thailand dalam acara regu dan berpasukan lelaki.
Lebih manis, kejayaan itu tercipta selepas menumbangkan musuh tradisi, Thailand, di kubu keramat mereka.
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) terus mengorak langkah dalam memperkasa ekosistem menerusi Akademi Sepak Takraw Malaysia di Kampung Baru -- serta menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai “Home of Sepak Takraw“.
"Harus ikut peredaran zaman. Sekarang semua ke hadapan dan moden.
"Mana-mana sukan terbaik di dunia harus ada akademi demi pembangunan akan datang.
"Itu pelopor kecemerlangan.
"Sepak takraw sudah membuka mata bahawa Malaysia masih yang terbaik daripada segi permainan dan pengurusan.
"Sebagai pencinta sepak takraw harus memberikan sokongan," katanya.