KL2017
Pingat emas fokus utama Welson berbanding rekod
Perenang sensasi negara, Welson Sim, masih belum terfikir untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 1,500 meter milik Jeffrey Ong kerana sasaran utamanya adalah memenangi pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.
Buat masa ini, catatan terbaik Welson bagi acara 1,500m ialah 15 minit 31.10 saat yang dilakarnya dalam Kejohanan Renang Terbuka Singapura, Mac lalu.
Catatan tersebut tidak jauh daripada rekod Jeffrey -- yang dilakarnya pada 1991 -- iaitu 15 minit 23.61s.
Iklan
Bagaimanapun, perenang berusia 20 tahun itu masih belum terfikir ke arah itu memandangkan fokusnya kini adalah menewaskan pesaing dari Vietnam dan Indonesia.
"Memecah rekod 1,500m sememangnya harapan saya. Saya sudah mempersiapkan diri saya dalam acara ini sudah lama.
"Saya berasa cukup baik ketika ini, jadi saya yakin mampu melakar catatan peribadi terbaik tetapi saya tidak pasti dapat memecah rekod. Keutamaan saya ketika ini adalah meraih emas dan selepas itu barulah mengejar rekod," jelasnya.
Sementara itu, Welson optimis dia mampu menguasai dua lagi acara lain -- 200m dan 400m -- biarpun 1,500m adalah acara pilihan.
"Saya ada ketahanan untuk menghadapi acara 200 dan 400m, cuma fizikal saya perlu lebih besar dan kuat untuk menghasilkan renangan yang lebih baik," tambahnya.
Must-Watch Video