Skip to main content

Sukan Lain

MISF kini badan induk sah luncur ais

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

pesuruhjaya-sukan-zaiton.jpg
Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) kini merupakan badan induk yang sah bagi sukan berkenaan di negara ini selepas mendapat pengesahan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi menggantikan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

ISAM dibatalkan pendaftaran oleh PJS berkuatkuasa pada 18 Mei 2018 selepas gagal menghantar maklumat tahunan berkaitan persatuan sejak 2013 hingga 2018.

Meskipun persatuan itu membuat rayuan, permohonan mereka ditolak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 29 Oktober lalu. 

PJS Malaysia, Datuk Zaiton Othman, turut menafikan dakwaan ISAM bahawa mereka tidak mendapat sebarang surat susulan sejak 1 Jun 2018.

Pembatalan ISAM menyaksikan satu badan baru, iaitu MISF, ditubuhkan pada 26 Disember lalu yang kini diberikan tanggungjawab untuk menyelia sebarang aktiviti berkaitan sukan luncur ais di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Zaiton memberi peringatan kepada setiap persatuan sukan yang berdaftar di Malaysia supaya memastikan mereka dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah diberitahu mengenai perkembangan ini dan mereka telah memaklumkannya kepada Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU),  bulan lalu. 

"ISU akan menerima MISF sebagai ahli gabungan," terang Zaiton. 

Selain ISAM, Persatuan Triatlon Malaysia (TRIAM) juga menerima nasib serupa apabila pendaftarannya dibatalkan PJS, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap nasib atlet mereka untuk menyertai kejohanan luar negara.

"Badan sukan bertanggungjawab perlu menghantar segala laporan seperti mesyuarat agung, aktiviti, kewangan dan ahli jawatankuasa.

"PJS boleh mengambil tindakan sekiranya laporan itu tidak dihantar. 

"Mengapa menerima jawatan sebagai presiden mahupun ahli jawatankuasa kalau tidak boleh berbuat demikian," tambahnya. 

Sementara itu, Zaiton turut menjelaskan pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang terpaksa menangguhkan kongres tahunan ke-31 yang sepatutnya diadakan November lalu.

Ia berpunca daripada kemelut dalaman membabitkan ahli gabungan selain pertikaian yang timbul mengenai proses pencalonan bagi pemilihan jawatankuasa eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Malah, KLFA  juga perlu menjawab 13 pertuduhan yang dikemukakan PJS dengan tempoh 14 hari yang diberikan itu bakal berakhir esok.

"KLFA meminta tempoh dua minggu untuk menjawab segala aduan, sama ada mereka menghantar laporan atau memanggil kami untuk sekali lagi mengadakan mesyuarat.

"Kami akan bermesyuarat sekali lagi ataupun menerima jawapan KLFA sebelum memutuskan tindakan seterusnya," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video