Sejak dilantik sebagai pengurus interim Manchester United, Michael Carrick telah membawa angin perubahan kepada pasukan yang sebelum ini dilanda ketidakstabilan. Setelah pemecatan Ruben Amorim, Carrick dipercayai mampu menyediakan kestabilan taktikal dan mental di Old Trafford, dan statistik di atas padang membuktikan yang dia berada di landasan tepat!
Di bawah kendalian Carrick, United kini mencatat rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan liga, termasuk kemenangan 1-0 penting menentang Everton dengan jaringan daripada Benjamin Sesko. United kini berada di tangga ke-4 Liga Perdana Inggeris, satu lonjakan dari awal musim yang kurang meyakinkan.
Advertisement
Carrick yang juga legenda kelab tidak datang dengan ego besar atau perubahan drastik. Sebaliknya pendekatannya lebih kepada menstabilkan semula sistem permainan, memberi kepercayaan kepada pemain muda, dan mengembalikan semula DNA asas United. Kemenangan demi kemenangan di bawah kepimpinannya menunjukkan bahawa ketenangan kadang-kadang memberi impak lebih besar daripada revolusi besar-besaran.
Jika momentum seperti ini dapat diteruskan lagi, mungkinkah penyokong the Red Devils bakal lihat era kegemilangan Manchester United kembali? Apapun, dengan musim yang semakin sengit, Carrick dilihat sebagai figura yang mampu menyatukan pasukan, pulihkan keyakinan, dan membawa United kembali ke landasan yang konsisten.