Skuad negara bimbingan Stephen Van Huizen, seperti diramalkan, meraih kemenangan besar dengan membelasah Fiji 11-1 walaupun menurunkan pemain muda dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh, hari ini.
Skuad negara mengganas di Stadium Hoki Nasional Maulana Bhashani dengan merekodkan kemenangan terbesar kejohanan, mengatasi rekod 7-0 kemenangan Oman ke atas Fiji, Sabtu lalu.
Corak permainan menyerang membuahkan hasil apabila Malaysia mendahului 5-0 pada suku pertamamenerusi jaringan Shahril Saabah, Rashid Baharom, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan Fitri Saari.
Pada suku kedua, Malaysia menambah tiga lagi gol menerusi pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, Rashid dan Shahril, sebelum Fiji meledak gol saguhati.
Selepas rehat, Van Huizen merehatkan Razie, Fitri, Shahril dan Tajuddin, menyaksikan tiada gol sehingga suku ketiga.
Selepas itu, skuad negara meningkatkan serangan dan meraih tiga gol lagi menerusi dua jaringan Fitri dan satu daripada Shahril.
Ia adalah kemenangan terbesar kejohanan untuk membuktikan reputasi Malaysia sebagai pilihan utama.
Dengan kemenangan ketiga itu, Malaysia muncul juara Kumpulan A, dengan kedudukan kedua akan ditentukan di antara Oman dan Bangladesh yang akan beraksi petang nanti.
Fiji berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
"Bukan jumlah jaringan yang menjadi keutamaan, perkara yang paling adalah bagaimana kami bermain dan bersedia untuk suku akhir dan separuh akhir nanti.
"Ia bagus untuk pemain menjaringkan gol dan banyak peluang dicipta. Yang lebih penting, kami bertambah baik daripada satu perlawanan ke perlawanan lain," kata Van Huizen.
"Kami perlu meningkatkan lagi mutu pukulan sudut penalti serta hantaran. Berdepan pasukan kuat seperti Malaysia, kami juga bertahan dengan baik," ujar kapten pasukan Fiji, Hector Smith Junior.
Public Anonymous User
Mon Mar 06 2017