Terima kasih kepada jaringan kemenangan Lautaro Martinez yang terus mengesahkan kemaraan juara bertahan Argentina ke pentas akhir Piala Dunia 2026, kita berpeluang untuk menyaksikan pertembungan G.O.A.T Lionel Messi dengan bayi yang pernah dimandikannya pada suatu masa dahulu, Lamine Yamal.
Pada 2007, Messi baru berusia 20 tahun dan mula membina pengaruh yang cukup kuat bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.
Yamal pula baru memasuki usia 6 bulan ketika keluarganya dipilih oleh UNICEF untuk turut sama menyertai satu sesi fotografi bersama Messi.
Messi yang menjadi wajah utama bagi kempen amal penghasilan kalender UNICEF tahun itu, turut memerlukan dia beraksi di hadapan kamera sambil memandikan Yamal yang berendam di dalam tab mandian bayi dengan buih sabun.
Yamal mungkin terlalu kecil untuk memahami impak seorang bintang bola sepak sehebat Messi disisinya pada ketika itu tetapi tidak bagi ibunya, Sheila Ebana yang turut sama dipotretkan dalam sesi fotografi tersebut - pastinya dalam diam, wanita muda itu menyimpan impian yang besar buat Yamal.
Kini setelah hampir 2 dekad berlalu, nama Yamal semakin utuh sebagai legasi hebat Barcelona pada era baharu - malah pemain yang meraikan ulangtahun ke-19 pada 13 Julai lalu itu tidak mensia-siakan peluang, kali ini bermandikan peluh bersama rakan sepasukan di kem Sepanyol dengan sekurang-kurangnya kembali ke final untuk mencabar kejuaraan tunggal 2010.