Skip to main content

Sukan Lain

Larian Obor KL2017 diteruskan di Sabah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

040617-willie_1.jpg
Selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan, Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) diteruskan di Sabah dengan destinasinya ialah di puncak Gunung Kinabalu.

Pendakian yang disertai seramai 24 orang itu diketuai sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bermula kira-kira jam 10 pagi tadi dengan Timpohon Gate menjadi garisan permulaan.

"Pada hari ini, saya mengetuai kumpulan 24 pendaki yang akan membawa Obor Kuala Lumpur 2017 ke puncak Gunung Kinabalu, bermula dari Timpohon Gate.

"Selepas itu, kami akan mendaki sehingga ke Laban Rata dan bermalam di situ sebelum meneruskan pendakian ke puncak pada awal pagi esok...Insya-Allah," katanya.

Khairy berkata selepas dibawa ke puncak Gunung Kinabalu, obor berkenaan akan dibawa turun esok, seterusnya dibawa menjelajah sekitar Sabah sebelum diserahkan kepada negeri Sarawak.

"Setakat lima destinasi sebelum ini, Larian Obor KL2017 mendapat sambutan yang amat baik dengan disertai oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Khairy turut teruja apabila bakal merasai pengalaman pertamanya mendaki puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

"Pendakian ini juga sangat mencabar kerana kami semua tetap mahu menyempurnakan puasa walaupun mendaki Gunung Kinabalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pendakian berkenaan juga sangat signifikan kerana ia diadakan pada hari ulang tahun kedua kejadian gempa bumi.

"Saya difahamkan, sebahagian daripada keluarga mangsa (gempa bumi) akan mendaki pada hari ini dan esok, saya harap akan dapat bertemu dengan mereka dan sama-sama memperingati mangsa yang terkorban," katanya.

Larian berkenaan diadakan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Ogos dan September depan.

Secara keseluruhannya, jarak Larian Obor KL2017 di Sabah adalah sejauh 30 kilometer dan akan berakhir pada 8 Jun nanti.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video