RENCANA
Terpegun Melihat Chong Wei Beraksi
Daripada hujung rambut sehingga hujung kaki dia diperhatikan.
“Wow!!! Chong Wei berototlah dan fit betul”, kata salah seorang peminat Malaysia Purple League (MPL) di Sports Arena Sentosa, Jalan Klang Lama.
Saya sering bertemu Chong Wei terutama masa zaman sebagai pemain skuasy kebangsaan di gymnasium, trek dan di temasya-temasya sukan.
Iklan
Jika tidak keterlaluan untuk berkongsi, dengan bangganya saya pernah berganding bersama Chong Wei dalam perlawanan badminton sosial. Anda boleh teka siapa yang banyak mendapatkan mata.
Kami mengenali antara satu sama lain. Namun sehingga kini, saya berasa gemuruh dan teruja apabila bertemu ikon badminton dunia ini.
Oleh itu, saya teramat faham jika para peminat dapat bertemu Chong Wei sendiri buat kali pertama.
Perasaan hormat, bangga, tidak percaya, gementar dan banyak lagi dirasai oleh mereka.
Saya amat bertuah ditugaskan oleh Astro Arena untuk membuat pengulasan MPL bersama Roslin Hashim, bekas pemain nombor 1 perseorangan lelaki negara untuk perlawanan Lee Chong Wei dan rakan sepasukan Petaling Jaya Badminton Club menentang Ampang Jaya Badminton Club pada 28 November 2015.
Jarang-jarang sekali dapat melihat Lee Chong Wei beraksi di hadapan mata sendiri.
Saya dan Roslin amat teruja untuk melihat apakah kekuatan tambahan yang ada pada pemain no. 3 dunia ini sehingga beliau membolot kejuaraan Terbuka Perancis, Terbuka China dan Tebuka Hong Kong dalam masa sebulan.
Chong Wei tidak mengecewakan kami dan semua peminat yang berada di gelanggang mahupun mereka yang menyaksikan perlawanan secara langsung di Asto Arena.
Skil, kecergasan fizikal, kepantasan, pergerakan efisien, kekuatan mental, kesabaran, ketepatan, konsistensi, ketenangan dan kebijaksanaan strategi dikombinasikan.
Ada yang menggeleng kepala semasa perlawanan berlangsung seakan-akan tidak percaya dengan kebolehan beliau di atas gelanggang. Bagi mereka, mustahil untuk mengikuti skil dan kepantasan yang dipamerkan oleh Chong Wei.
Kali pertama beliau beraksi di MPL. Walaupun diberi tentangan hebat daripada Kento Momota, pemain nombor 5 dunia dari Jepun, Chong Wei menghadiahkan 3 game dan memberi kemenangan bermakna kepada Petaling Jaya Badminton Club yang turut menurunkan pemain selebriti mereka iaitu Hafiz Hashim, Koo Kien Kiet dan Woon Khe Wei.
Oleh itu, kemenangan kedua Petaling Jaya Badminton Club setelah tewas di dua perlawanan pertama semasa bertemu Nusajaya Badminton Club dan Muar City Badminton Club pada awal bulan November.
Nasihat saya kepada para peminat sukan badminton, jangan melepaskan peluang menyaksikan sendiri pemain idola anda di tempat pertandingan.
Anda berkemungkinan berpeluang berjumpa dengan Chong Wei.
Cuba bersalaman.
Saya pasti anda akan terkejut dengan kekuatan tangan Chong Wei.
Kemungkinan besar ternganga dan terpegun melihat Chong Wei berdiri di hadapan anda.
Must-Watch Video