Melaka United yang dibimbing bekas jurulatih ternama , Mat Zan Mat Aris dilihat antara pasukan paling menyerlah musim ini selain dari JDT.
Kembali menyertai saingan liga perdana tahun ini selepas lama terpinggir di saingan utama liga tanah air, skuad Sang Kancil mencipta kejutan dengan mendahului carta liga perdana dengan 30 mata, selepas 13 perlawanan. Mereka mengenepikan cabaran pasukan hebat lain seperti JDT II, PKNS dan juga Negeri Sembilan.
Tidak diberikan harapan besar sewaktu permulaan liga, mereka hanya meletakkan sasaran kekal di liga perdana selain layak ke saingan Piala Malaysia, namun realitinya kini, mereka dijangka akan layak ke liga super dan bergelar juara liga perdana jika kekal di tangga teratas liga.
Terbaru, Melaka United berjaya mencipta kejutan dalam saingan Piala Malaysia apabila menumbangkan Terengganu 2 -1 untuk menerajui tangga teratas kumpulan D bersama-sama Felda United.
Prestasi semasa Melaka United yang baik memperlihatkan bahawa mereka dijangka tidak berdepan masalah dan mampu ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.
Dengan tiada nama-nama besar dalam senarai pemain Melaka United, pasukan ini hanya bersandarkan kepada semangat sepasukan dan kerja keras untuk terus mencipta kejutan demi kejutan. Diharapkan suatu hari nanti, Melaka United mampu kembali melahirkan legenda-legenda bola sepak seperti Datuk Soh Chin Aun.