Skip to main content

Rencana

Sabah hebat bah

matlan-marjan.jpg
Sempena kejayaan pasukan bola sepak Sabah kembali ke Liga Super musim 2020, mari kita singkap pemain-pemain yang menjadi kebanggaan Negeri di Bawah Bayu ini.

Hasan Sani dan James Wong mengisi senarai teratas pencarian pemain bola sepak Sabah, namun perjalanan seorang pemain era 90-an, Matlan Marjan, yang dianggap Diego Maradona bagi rakyat Sabah cukup menarik.

Kareer Matlan berakhir ketika di puncak.

Kejuaraan Sabah membawa pulang Piala FA 1995 menyaksikan Matlan dijangka terus mengetuai kecemerlangan pasukan merebut Piala Malaysia selepas itu.

Sebaliknya, Matlan terpalit skandal rasuah dan mengatur perlawanan - dia antara enam pemain skuad utama yang disabitkan bersalah dan menerima hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dilarang terbabit secara profesional dalam bola sepak.

Rasuah bola sepak menjadi topik perbincangan hangat Malaysia ketika itu dan apa yang berlaku turut membunuh jiwa Matlan yang selama ini disegani ramai apabila diarahkan tinggal di Semporna untuk satu tempoh masa.

Penulis sendiri mendengar kisah sedih Matlan ini yang diceritakan seorang kenalan ketika berkunjung ke Semporna beberapa tahun lalu.

Katanya, Matlan tetap legenda bagi mereka rakyat Sabah, terutama penduduk Semporna - bandar kecil yang terkenal dengan hidupan laut dan batu karang yang indah - kini, ramai anak muda yang terlibat lebih serius dalam bola sepak menerusi penglibatan secara tidak langsung Matlan dalam pembangunan sukan itu.

Ia pastinya satu kerugian sekiranya pengalaman luas Matlan bersama skuad kebangsaan tidak digunakan untuk pembangunan bola sepak negeri itu hanya kerana satu kesilapan - apatah lagi peranan Matlan yang sebenarnya lebih menyerlah ketika mewakili Malaysia.

Matlan sebaris nama-nama hebat bola sepak seperti Zainal Abidin Hassan dan Nizam Adza Yusoff pada eranya - namun Matlan satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya membolosi gawang skuad kebangsaan England, juga pemain Asia pertama menjaringkan gol menentang skuad utama The Three Lions.

England ketika itu bukan calang-calang pasukan dan diketuai penjaring berbisa, Gary Lineker, tetapi Malaysia berjaya mencuri tumpuan menerusi dua jaringan Matlan yang menewaskan penjaga gol England, Chris Wood - meskipun Malaysia tewas 2-4 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 1991 itu.

Hebat bah!

Advertisement

Must Watch Video