Skip to main content

Rencana

Olahraga : Macam menang pingat Olimpik

301115bazly-jpg.jpg
Beberapa pelancong luar negara turut mengambil kesempatan menyaksikan adegan jurugambar berasak dan peminat mahu meraikan Badrul yang merampas gelaran Raja Pecut Malaysia.

Tubuhnya kecil saja, 165cm dan sopan-santun.

Jika tidak kerana penampilan hebat di Brunei, jika dia melintas di depan mata, saya tidak akan perasan dia seorang hero baru olahraga - cukup sederhana.

"Saya biasa-biasa saja abang. Hanya ikut arahan jurulatih," kata Badrul.

Tetapi, sikap dan disiplin pelari kelahiran Melaka ini kunci utama.

"Jika saya tetapkan latihan bermula 5.30 pagi, dia akan bersedia 30 minit lebih awal. Siap dengan memanaskan badan. Dia tidak pernah membantah arahan dan menghormati semua orang. Saya tahu dia 
akan memecahkan rekod itu di Brunei," kata jurulatih, Mohd Poad Kassim.

Terus saya teringatkan bekas bintang bola sepak negara, Allahyarham Mohktar Dahari.

Khabarnya arwah juga memiliki sikap sama dan atas faktor itu, Mohktar antara pemain terhebat pernah dilahirkan Harimau Malaya.

Memang, selalunya atlit yang hebat memiliki satu sikap unik.

Berapa ramai yang tahu jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sanggup berlatih jam 5 pagi? 

Pandelela Rinong terjun di kolam renang lapan jam sehari?

Azizulhasni Awang sanggup membawa anak dan isteri berlatih sambil belajar di Melbourne, Australia?

Mereka ini atlit sensasi negara dan Badrul mampu menyertai kelompok sama jika konsisten dengan sikap unik itu.

Saya percaya Badrul belum capai kemuncak prestasi. Dia baru berusia 18 tahun dengan catatan peribadi terbaik 10.29 saat.

Watson Nyambek memecah rekod kebangsaan (10.30s) ketika berusia 24 tahun.

Badrul mungkin mempunyai 5-6 tahun lagi untuk mencapai kemuncak prestasi dan pada waktu itu, dia mungkin berjaya melakukan catatan sekitar 10.10s.

Saya akan sentiasa memantau perkembangan Badrul, sama seperti seniornya, Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Mohd Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Advertisement

Must Watch Video