“Bagus Ali, bantu rakan yang lemah dalam pelajaran”.
“Tahniah pelajar SMKTT kerana kutip sampah di kawasan sekolah”.
“Bagus, ini semua nilai-nilai murni,” kata Cikgu Fauzi Ameen dari SK Kalumpang.
Lama saya tidak menjenguk bekas sekolah di Ampang, Selangor. Tempat saya belajar nilai-nilai murni.
Realitinya, sekolah bukan saja tempat kita menuntut ilmu tetapi tempat mengumpul bekalan hidup masa depan. Biasanya apabila melintasi kawasan sekolah lama, saya akan meninjau kawasan padang yang dulunya ‘botak’ di tengah.
Di situ saya dan rakan-rakan belajar erti sabar, kecekalan dan tidak putus asa ketika menyertai sesi pemilihan skuad bola sepak, olahraga, bola baling serta karate-do.
Selepas 20 tahun meninggalkan sekolah, saya diberi peluang untuk merakam hasil asuhan ‘Gen-Z’ – hasilnya tidak mengecewakan.
Pelajar yang menyertai Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) masih mengamalkan nilai-nilai murni mengutip sampah di padang atau mengemas asrama penginapan sementara.
“Ketika anda datang keadaannya baik, saya mahu anda meninggalkannya dalam keadaan sama,” masih terngiang-ngiang kata-kata bekas jurulatih lompat tinggi Selangor, Cikgu Mansahar Abd Jalil pada 2001.
Memang, perkara sebegini akan membuatkan kita mengimbau kenangan lama. Lagi-lagi perkara yang baik.
Saya harap nilai-nilai murni ini diteruskan hingga tamat fasa keempat MSSM 2023Z.
Ayuh buktikan, pelajar Malaysia juga setanding Jepun – ada nilai-nilai murni yang hebat!
Bazly Azmi
Mon Sep 04 2023