Skip to main content

Rencana

Bimbang jangan tak bimbang!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

260716-sharon-wee.jpg
Berita baik dahulu.

Tahniah kepada bergu campuran negara Tan Kian Meng/Lai Pei Jing yang menjuarai Kejohanan Badminton GP Terbuka Vietnam 2016. 

Setelah berputih mata dalam 3 final tahun ini, akhirnya gandingan tidak sampai setahun ini membuahkan hasil. 

Nampaknya Malaysia lega dengan munculnya bergu campuran kedua terbaik selepas Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang akan beraksi di Olimpik Rio minggu depan.

Berita buruk pula.

Walaupun meninggalkan BAM beberapa bulan lepas dan menjadi pemain profesional, Chong Wei Feng masih seorang pemain kebangsaan. Acap kali ingin membuktikan dia dapat mengejar Lee Chong Wei, namun kasihan, kerana Chong Wei memang seorang atlit luar biasa dan sukar untuk ditandingi.

Wei Feng tewas buat kali ketiga kepada Vincent Wong pemain dari Hong Kong di final. 

Pasangan senior Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong yang dikecam oleh peminat badminton negara baru-baru ini kerana sedikit sebanyak kekalahan mereka kepada pasangan Denmark di separuh akhir Piala Thomas 2016 merupakan faktor Malaysia tewas walaupun pasukan negara sudah mendahului 2-0.

Kien Kiat/Boon Heong sudah pasti kecewa kerana ditundukkan oleh pasangan tidak ternama Taiwan Lee Jhe-Huei/Lee Yang dalam 3 game di peringkat akhir.

Berita membimbangkan.

Nak kata takut, tak juga. Nak kata bimbang, mungkin lebih sesuai.

Dalam usaha mencari pengganti Lee Chong Wei, kem Malaysia juga akur dengan kelonglaian kategori lain.

Apatah lagi negara jiran, Singapura telah memperkenalkan permata badminton mereka. Pada usia 17 tahun, Yeo Jia Min menunjukkan kematangan dan kekuatan fizikal untuk merangkul kejuaraan GP pertamanya di Terbuka Vietnam.

Lawan Yeo yang juga pemain kecil molek dari Jepun, Mine Ayumi dipaksa bekerja keras dan ada seketika nampak agak kebingungan di dalam gelanggang kerana kepandaian Yeo menempatkan pukulan.

Melihat kelibat Yeo, para pemain wanita negara seperti Tee Jing Yi dan Goh Jin Wei perlu meningkatkan prestasi melipat ganda untuk sampai ke tahap pemain Singapura ini.

Kalau bola sepak Malaysia pernah tewas kepada Singapura dan beberapa negara Asia Tenggara, sepak takraw kita pernah tewas kepada Korea Selatan yang pada mulanya berilmu dengan Malaysia, kini pula janganlah sampai pasukan badminton Malaysia tewas kepada Singapura.

Bimbang, jangan tak bimbang!
 

Advertisement

Must Watch Video