Skip to main content

Rencana

Azzurri pulang dengan hormat!

canavaro.jpg

Fabio Cannavaro yang digelar "The Berlin Wall" pemain pertahanan Itali yang cukup mempengaruhi saya sebagai peminat bola sepak The Azzurri sejak kecil lagi.

Sebelum itu ialah pemain-pemain seperti Roberto Baggio, Paolo Maldini, Demetrio Albertini, Alesandro Del Piero, Filippo Inzaghi, Christian Vieri dan Francesco Totti.

Namun, kelibat Cannavaro yang cemerlang menunjangi Itali dengan karya teragung Piala Dunia pada 2006 di Jerman sememangnya beri impak kepada saya sebagai peminat pasukan berkenaan.

Aksi separuh akhir bertemu tuan rumah masih segar dalam ingatan apabila anak buah Marcello Lippi meledak dua gol pada masa tambahan untuk memenangi perlawanan sekali gus layak ke pentas final.

Mereka kemudian mencipta lagi magis dalam aksi penuh dramatik berdepan Perancis, kali ini memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang Piala Dunia buat kali keempat.

10 tahun berlalu, Itali di pentas berbeza iaitu kejohanan bola sepak Eropah Euro 2016 seakan boleh melakar gemilang di bawah kendalian Antonio Conte walaupun dipandang sepi sebelum kejohanan berlangsung.

Ini susulan kejayaan The Azzurri mudah menundukkan pasukan nombor dua dunia Belgium pada perlawanan pertama peringkat kumpulan dan menumbangkan juara bertahan, Sepanyol pada pusingan kedua kejohanan.

Begitupun, langkah mereka tersekat di suku akhir - dilabel aksi final sebelum final.

Bangkit 1-1 mengheret musuh tradisi Jerman ke aksi masa tambahan, tuah penentuan sepakan penalti bagaimanapun menyebelahi Die Mannschaft dengan keputusan 6-5.

Saya percaya, ramai tidak mengenali barisan pemain Itali untuk kejohanan Euro di Perancis ini memandangkan peminat di sini lebih dipengaruhi dengan bola sepak England, Liga Perdana Inggeris mahupun La Liga Sepanyol.

Namun, mereka membuktikan status bintang bukan jaminan kecemerlangan sesebuah pasukan dan pastinya nama-nama seperti Graziano Pelle, Eder, Emanuel Giaccherin dan Marco Parolo akan meniti di bibir peminat selepas ini.

 

Advertisement

Must Watch Video