BOLA SEPAK
Ronaldo sambut kelahiran kembar lelaki
Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, mengesahkan bahawa dia telah menjadi ayah kepada anak kembar lelaki sebaik berakhirnya perjalanan Portugal dalam Piala Konfederasi.
Portugal disingkirkan daripada kejohanan itu awal pagi tadi selepas tewas 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti berdepan Chile di Kazan.
Ronaldo yang nyata kecewa dengan keputusan perlawanan itu mendedahkan kepada media bahawa dia menyambut kelahiran dua anak lelaki.
Iklan
Pemain berusia 32 tahun itu turut mengesahkan dia tidak akan bersama pasukan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Ahad ini.
"Saya tetap melaksanakan tanggungjawab bersama skuad Portugal meskipun dua anak lelaki saya dilahirkan hari ini," katanya di laman Facebook.
"Malangnya, kami gagal mencapai sasaran utama, iaitu mara ke final, namun saya pasti kami akan terus menggembirakan rakyat Portugal.
"Saya gembira kerana dapat bersama anak-anak saya buat kali pertama."
Anak pertama Ronaldo, Cristiano Ronaldo Jr, menyambut usia tujuh tahun awal bulan ini.
Must-Watch Video