Perak antara pasukan yang rancak merekrut pemain baru bagi memperkuatkan pasukan itu menjelang pembukaan kempen Liga Malaysia musim 2024/25.

Skuad Bos Gaurus itu dilaporkan membawa masuk tiga penjaga gol baru, iaitu Haziq Nadzli dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Ramadhan Abdul Hamid (PDRM) dan yang terbaru dilaporkan bakal mendatangkan penjaga gol muda Negeri Sembilan, Firdaus Imran Mohd Fadhil.

Dalam segmen Keluar-Masuk yang dibawakan redONE dalam Nadi Weekend sebentar tadi, Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, berkata: "(Firdaus Irman) penjaga gol kelahiran Penaga, Penang ini hampir pasti sebenarnya membawa haluan baru menyertai Perak FC musim ini.

"Seandainya ia berlaku, Perak kini sudah memiliki tiga penjaga gol baru."

Pewarta Astro Arena, Hafizal Hamad, kemudian menambah: "Saya lebih suka memperkatakan bahawa persaingan itu kini lebih terbuka. Kita tidak hanya melihat Haziq -- kalau dilihat urutannya, dia akan bertindak sebagai penjaga gol utama, dan kemudian Ramadhan dan seterusnya Firdaus sebagai penjaga gol ketiga.

"Tetapi mengenali (ketua jurulatih) Yusri Che Lah, dia seorang jurulatih yang lebih menekankan kepada elemen, di mana pada hari perlawanan, dia akan berbincang bersama jurulatih penjaga gol mengenai pemain mana yang memiliki kemampuan yang lebih baik untuk diturunkan."

Mengulas lanjut, Fadhirul menambah: "Kalau ditanyakan saya secara peribadi, untuk beraksi sebagai penjaga gol utama bagi skuad Liga Super Perak, agak sukar.

"Namun, untuk beraksi bersama pasukan B-23 dalam Piala MFL, saya rasa tiada masalah untuk Firdaus Irman mengisi posisi penjaga gol utama skuad Seladang itu musim ini."

Ikuti segmen Keluar-Masuk dalam Nadi Arena dan Nadi Weekend setiap hari Rabu dan Sabtu.