Skip to main content

Bola Sepak

Piala Malaysia: Dua penyokong ditahan ketika perlawanan Perak-JDT

81661397278_ketuapolisperakba.jpg
Polis menahan dua lelaki melibatkan penyokong bola sepak dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata tangkapan itu, bagaimanapun, hanya melibatkan kesalahan kecil tanpa sebarang isu rusuhan atau pergaduhan.

"Tangkapan hanya melibatkan dua individu sahaja dan itu pun melibatkan kesalahan kecil.

"Tindakan seterusnya telah diambil bagi tujuan siasatan," katanya.

Sebaik tamat perlawanan, dua lelaki berkenaan dibawa keluar polis dari stadium dalam keadaan tangan bergari.

Perlawanan di hadapan 21,613 penonton itu berkesudahan dengan JDT mengatasi tuan rumah 4-1.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, aksi perlawanan berjalan dalam keadaan terkawal, baik di dalam mahupun luar stadium, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Penyokong kedua-dua pasukan telah memberi kerjasama yang baik dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa," katanya.

Dalam perlawanan itu, seramai 397 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditugaskan bagi mengawal ketat keadaan keluar masuk pemain dan penyokong.

Untuk rekod, pada April 2014, insiden pergaduhan besar membabitkan penyokong The Bos Gaurus dan Harimau Selatan tercetus di luar pekarangan stadium dalam aksi Liga Super yang berkesudahan Perak tumpas 0-1 kepada JDT di Stadium Perak

Insiden berkenaan berulang pada Ogos 2016 apabila Perak sekali lagi tumbang di laman sendiri kepada JDT dengan jaringan sama dan turut menyebabkan kecederaan menimpa seorang petugas media.

-- Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video