Skip to main content

Bola Sepak

Akmal Rizal kembali ke pangkuan Kedah FA, sedia galas cabaran Liga A1 Semi Pro

Akmal Rizal kembali ke pangkuan Kedah FA, sedia galas cabaran Liga A1 Semi Pro

Peribahasa “ibarat sireh pulang ke gagang” cukup tepat menggambarkan kepulangan semula legenda bola sepak Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila beliau dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2026/2027.

Bekas penyerang kebangsaan yang pernah mencipta nama bersama skuad Hijau Kuning itu mengakui teruja apabila diberikan peluang untuk membimbing pasukan negeri kelahirannya buat pertama kali dalam karier kejurulatihan profesional.

Menurut Akmal Rizal, atau lebih mesra dikenali sebagai Dekman, peluang untuk kembali berkhidmat bersama Kedah merupakan satu penghormatan besar dan tanggungjawab yang amat bermakna buat dirinya.

“Saya sangat teruja kerana dapat kembali bersama Kedah dalam kapasiti yang berbeza. Ini adalah pasukan yang banyak memberi makna dalam perjalanan karier saya dan sudah tentu saya mahu memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan mencapai kejayaan,” katanya.

Meskipun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi, Akmal percaya semangat berpasukan serta kerjasama erat dalam kalangan pemain dan pegawai mampu menjadikan Kedah FA antara pencabar utama dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.

Beliau turut menyambut baik pelantikan seorang lagi legenda Hijau Kuning, Baddrol Bakhtiar sebagai pengurus pasukan, yang menurutnya mampu memberikan impak positif kepada pembangunan dan pengurusan skuad.

“Pengalaman serta pengetahuan yang dimiliki Baddrol sudah tentu menjadi satu kelebihan buat pasukan. Kami mempunyai matlamat yang sama iaitu mahu melihat Kedah kembali berada pada kedudukan yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam masa sama, bekas pengendali Penang FC itu mengesahkan sebahagian besar pemain yang beraksi bersama pasukan musim lalu akan terus dikekalkan bagi memastikan kestabilan skuad menjelang musim baharu yang dijadual membuka tirainya pada Ogos depan.

Pendekatan tersebut dilihat penting dalam mengekalkan keserasian pasukan selepas Kedah FA mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam kempen Liga A1 Semi Pro 2025/2026.

Untuk rekod, di bawah kendalian Victor Andrag, Kedah FA berjaya menamatkan musim lalu di tangga ketiga liga selepas mencatat 17 kemenangan, enam keputusan seri dan hanya lima kekalahan.

Pencapaian itu meletakkan asas kukuh buat Akmal Rizal untuk meneruskan momentum positif pasukan, sambil berusaha membawa Lang Merah melangkah lebih jauh dan mencabar kejuaraan pada musim akan datang.

Dengan gabungan pengalaman bekas pemain-pemain legenda dalam barisan pengurusan serta kestabilan skuad sedia ada, penyokong Kedah pastinya berharap era baharu di bawah kendalian Akmal Rizal mampu mengembalikan kegemilangan pasukan yang pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak negara.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Home Pre Match Jersey Men White JY9530

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

[NEW] PUMA Portugal Away Jersey Men

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Germany 26 Home Pre Match Jersey Men Black JZ4577

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Must Watch Video