Skip to main content

Bola Sepak

Kualiti akademi bola bepak perlu dipantau demi masa depan pembangunan bakat negara

Kualiti akademi bola bepak perlu dipantau demi masa depan pembangunan bakat negara

Pertumbuhan pesat akademi bola sepak di seluruh negara dilihat sebagai perkembangan positif yang mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan sukan nombor satu dunia itu.

Namun di sebalik pertambahan jumlah akademi yang semakin ketara, timbul keperluan untuk memastikan setiap institusi yang ditubuhkan benar-benar memenuhi matlamat asal iaitu membangunkan bakat muda secara sistematik dan berkualiti, bukannya sekadar mengejar populariti atau keuntungan semata-mata.

Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Ong Kim Swee, menegaskan bahawa peringkat awal penglibatan kanak-kanak dalam bola sepak merupakan fasa paling kritikal dalam proses pembentukan seseorang pemain.

Menurut beliau, pendedahan yang diterima pemain muda pada usia awal akan memberi kesan besar terhadap perkembangan teknikal, taktikal dan mental mereka pada masa hadapan.

Justeru, beliau berpandangan bahawa setiap akademi perlu dikendalikan oleh jurulatih yang berkelayakan serta mempunyai pemahaman jelas mengenai pembangunan pemain mengikut kelompok umur.

“Fasa awal pemain bersama bola sepak amat penting. Apa yang diajar dan diterapkan pada peringkat ini akan menjadi asas kepada perkembangan mereka pada masa akan datang. Sebab itu aspek kualiti kejurulatihan dan pemantauan perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Ong turut menekankan bahawa pembangunan pemain bukanlah proses yang boleh dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan jangka panjang serta pendekatan yang selaras dengan falsafah pembangunan bola sepak negara.

Sementara itu, Pengerusi PIBG Victoria Institution, Edzrul Fahmi Mohamed berpendapat pemantauan daripada badan induk bola sepak negara, Football Association of Malaysia amat diperlukan bagi memastikan setiap akademi beroperasi mengikut standard yang ditetapkan.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan fokus utama akademi kekal tertumpu kepada pembangunan pemain muda dan bukannya sekadar mencari pengiktirafan atau membina jenama semata-mata.

“Akademi bola sepak diwujudkan untuk melahirkan pemain berkualiti yang boleh menyumbang kepada bola sepak negara pada masa depan. Sebab itu pemantauan daripada FAM sangat penting supaya objektif asal penubuhannya tidak tersasar,” katanya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah akademi bola sepak di Malaysia terus meningkat seiring dengan minat yang semakin mendalam terhadap pembangunan bakat akar umbi.

Perkembangan itu sememangnya membuka lebih banyak peluang kepada pemain muda untuk mendapatkan latihan formal, namun pada masa sama menuntut satu sistem pemantauan yang lebih tersusun bagi memastikan standard latihan, kejurulatihan dan kebajikan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dengan kerjasama erat antara FAM, NFDP, sekolah, akademi serta ibu bapa, usaha memperkukuhkan ekosistem pembangunan akar umbi diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang berpotensi menyarung jersi kebangsaan pada masa hadapan.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Related Topics

Must Watch Video