Skip to main content

Bola Sepak

Piala Dunia Wanita: Belanda singkir Sweden untuk ke final

jackie-groenen.jpg
BELANDA 1  SWEDEN  0

Percubaan bijak Jackie Groenen dalam masa tambahan memastikan juara Eropah, Belanda, menempah tempat dalam Final Piala Dunia Wanita selepas menewaskan Sweden 1-0 di Stadium Groupama, awal pagi tadi.


Kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan dalam 90 minit sebenar perlawanan dengan dua percubaan yang terkena palang, namun pemain baru Manchester United, Groenen, menjaringkan gol yang di tunggu-tunggu untuk membawa pasukannya bertemu Amerika Syarikat (AS) dalam aksi final, awal pagi Isnin ini.

Barisan pertahanan memaparkan aksi terbaik dalam separuh masa pertama ketika kedua-dua pasukan tidak dapat menyudahkan peluang terhidang di depan gawang.

Ia berbeza dengan pertarungan sengit di antara AS dan England dalam satu lagi perlawanan separuh akhir semalam.

Dengan corak permainan yang lebih terbuka selepas waktu rehat, kedua-dua pasukan menghasilkan satu percubaan yang terkena palang dan memaksa jaringan yang dinanti-nantikan hanya tiba selepas perlawanan diheret ke masa tambahan.

Groenen menghasilkan penyudah sempurna untuk memastikan laluan ke final pertama buat pasukannya.

Sweden merupakan pasukan yang lebih menyerlah pada awal perlawanan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-13 apabila Sofia Jakobsson melakukan larian pantas sebelum melakukan umpanan ke arah Stina Blackstenius.

Bagaimanapun, percubaan itu dihadang sebelum ditangkap kemas penjaga gol Belanda, Sari van Veenendaal.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun peluang terbaik tiba sebelum sejam perlawanan apabila Nilla Fischer melakukan kawalan bola baik sebelum percubaannya hinggap di palang gol Van Veenendaal.

Hedvig Lindahl menyelamatkan Belanda dengan menolak bola tandukan Vivianne Miedema yang sempat terkena palang gol.

Agak mengejutkan untuk melihat perlawanan itu dibawa ke masa tambahan, namun Belanda yang memiliki tahap kecergasan lebih baik mendominasi perlawanan sebelum memecah kebuntuan -- Groenen menghasilkan penyudah kemas dari jarak 25 ela ke penjuru kiri bawah gawang lawan pada minit ke-99.

Advertisement

Must Watch Video