Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan lanjutan kerjasama jangka panjangnya dengan Astro, penyedia kandungan dan hiburan terkemuka Malaysia, sebagai Rakan Media Rasmi di negara ini.
Perjanjian baharu itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan kolaborasi tiga tahun yang bermula sejak 2023.
Sebelum ini, ia merangkumi pusingan Kelayakan Asia AFC – Road to 26, kejohanan skuad kebangsaan serta semua pertandingan kelab di bawah anjuran AFC.
Melalui lanjutan ini, Astro akan terus menyiarkan liputan menyeluruh mengenai bola sepak utama Asia buat peminat tempatan di seluruh negara.
Di bawah komitmen baharu ini, Astro mendapat hak penyiaran eksklusif untuk Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Kerjasama ini turut meliputi rangkaian kejohanan lain bagi kategori lelaki, wanita, dan remaja, termasuk pusingan akhir Kelayakan Asia bagi Kejohanan Bolasepak Olimpik Wanita 2028 di Los Angeles.
Selain itu, Astro mengekalkan hak siaran bagi semua perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2), dan Liga Juara-Juara Asia Wanita sehingga musim 2028/29.
Kesinambungan akses kepada pertandingan berprestij ini memastikan peminat sukan tanah air tidak terlepas detik-detik terbesar bola sepak Asia, bermula dengan Piala Asia Arab Saudi 2027 sehingga ke saingan kelab elit benua ini bagi musim 2028/2029.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor, John berkata: "Astro telah menjadi rakan kongsi yang luar biasa dalam memperluaskan pengaruh bola sepak Asia di Malaysia.
"Kami yakin mereka akan terus memberikan pengalaman menonton yang hebat dan memikat menerusi pelbagai platform bagi kejohanan bola sepak utama di benua ini.
"Lanjutan kerjasama jangka panjang ini mencerminkan visi bersama kami untuk membawa saingan AFC bertaraf dunia lebih dekat dengan peminat.
"Kami tidak sabar untuk bekerja erat dengan Astro bagi menyemarakkan lagi minat terhadap bola sepak serta menampilkan bakat-bakat luar biasa di seluruh Asia.”
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, pula berkata: "Kerjasama terbaharu dengan AFC ini membuktikan komitmen berterusan Astro dalam membawakan aksi bola sepak terbaik Asia kepada peminat di Malaysia.
"Daripada saingan Piala Asia AFC sehingga ke kejohanan kelab peringkat tertinggi serantau, kami bangga dapat menyiarkan setiap detik penting ini secara langsung di pelbagai platform, termasuk Astro Arena (CH 801 & 802), Astro Football (CH 814), Astro GO, NJOI, dan Sooka.
"Selari dengan perubahan trend tontonan, fokus kami adalah untuk terus membawakan inovasi dalam penyiaran sukan, menjadikannya lebih mudah diakses, imersif, dan menarik.
"Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh portfolio sukan premium kami, malah mengukuhkan lagi kedudukan Astro sebagai 'Home of Sports' di Malaysia.