Bekas ketua jurulatih Skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menganggap faktor fizikal bukan jaminan untuk mana-mana pasukan berasa selesa menjelang aksi pertama Kumpulan D, Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada Rabu depan.

Tegasnya, meskipun Harimau Muda bimbingan Juan Torres Garrido diklasifikasikan sebagai pasukan yang memiliki pemain dengan ketinggian purata paling rendah sekitar 176.1sm, faktor kecergasan pemain akan menjadi penentu kepada prestasi skuad negara.

Kim Swee, yang pernah membawa Malaysia ke suku akhir kejohanan sama pada 2018, turut melihat skuad negara kali ini memiliki kekuatan tersendiri, terutama di bahagian tengah, yang mampu mencorakkan hala tuju pasukan.

"Saya rasa kecergasan lebih penting kerana fizikal, ia mungkin hanya ketika kita berdepan situasi satu lawan satu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Daripada segi fizikal, saya tidak nampak ia satu masalah buat kita tetapi daripada faktor kecergasan dalam perlawanan, ia agak membimbangkan.

"Saya percaya kita memiliki jentera tengah yang cukup baik dan pada masa yang sama, saya sering katakan, mereka sudah bersama untuk tempoh yang lama.

"Ini penting, kita tidak boleh lihat daripada segi percaturan taktikal atau corak permainan di dalam padang sahaja tetapi ia juga tentang faktor di luar padang.

"Bagi saya ia amat penting. Dengan mereka sudah bersama di Qatar sejak sebelum sambutan Hari Raya, saya percaya keserasian sesama mereka sudah bertambah baik dan saya nampak peluang kita untuk layak ke pusingan seterusnya amat baik," katanya.