BOLA SEPAK MSIA
Matlan sedia berkhidmat jika diperlukan
Bekas penyerang kebangsaan, Matlan Marjan, kini bersedia untuk mencurahkan khidmatnya dalam bola sepak di negeri kelahirannya sekiranya diperlukan.
Ia susulan pengesahan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang membenarkan Matlan bersama lima lagi bekas pemain Sabah kembali menyertai aktiviti bola sepak di negara ini.
"Walaupun saya belum menerima apa-apa surat rasmi sama ada daripada SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) mahupun FAM berhubung perkara ini, namun saya bersyukur dengan berita ini.
Iklan
"Penantian selama hampir 22 tahun akhirnya terjawab apabila diberi 'pengampunan' oleh FAM dan saya kini bersedia untuk mencurahkan khidmat jika diperlukan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.
Matlan berkata dia dan rakan-rakan pastinya gembira kerana sudah boleh kembali dalam aktiviti bola sepak secara bebas.
FAM, semalam, mengesahkan Matlan serta lima lagi bekas pemain Sabah, Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi boleh kembali menyertai sukan bola sepak di negara ini.
Kesemua mereka digantung seumur hidup oleh badan induk bola sepak itu kerana terbabit dalam skandal rasuah yang menggegarkan kancah bola sepak negara pada pertengahan 90-an.
Pada 9 Mei tahun lalu, FAM memberi pengampunan kepada 78 bekas pemain yang terlibat dalam skandal itu, namun keenam-enam pemain Sabah itu terkecuali daripada pengampunan terbabit.
Must-Watch Video