Siapa sangka dalam saingan kumpulan, Wilayah Persekutuan (WP) tewas 2-3 ke atas Pulau Pinang, namun pertemuan semula dalam final berubah apabila mereka buat kejutan dengan menundukkan lawan yang sama dengan keputusan 3-1.
Ia juga sesi balas dendam selepas apa yang terjadi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang menyaksikan tumpas dalam final kepada Pulau Pinang.
Jurulatih WP, Celestine Sting George, menganggap pingat emas acara berpasukan lelaki hari ini memberi makna yang sangat besar kepada dirinya dan juga seluruh kontinjen.
"Pemain taruhan kami beraksi dengan cemerlang pada hari ini.
"Kami membuat persiapan rapi dan emas ini sangat berharga untuk WP," katanya.
Menurut Setiausaha Persatuan Badminton Kuala Lumpur (PBKL), Datuk Dr. Vincent Chin: "Kami mencipta sejarah selepas menanti selama 44 tahun. Kami adalah juara baru."
Dalam pada itu, tumpuan pastinya terarah kepada perseorangan pertama WP, Erfan Majeed Hajibegy, yang tewas tiga kali berturut-turut dalam saingan kumpulan.
Namun, hasil dorongan rakan sepasukan dan jurulatih, Erfan Majeed bangkit dengan memenangi semua perlawanan di peringkat kalah mati, sekali gus membantu WP menjadi juara selepas dikecewakan pada 2018.
Ia satu kisah kebangkitan terbaik dengan misinya selepas ini adalah untuk melakukan kejutan dalam acara individu pula.
"Saya agak gemuruh dalam pusingan kumpulan.
"Tapi saya bertambah semangat apabila memasuki peringkat kalah mati.
"Saya banyak berdoa kepada Allah agar berikan saya ketenangan," katanya.