Sensasi atlet 110 meter lari berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif, bakal menjadi tumpuan di pentas Sukan SEA Malaysia ?
Kenyataan itu disokong bekas pelari kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, berkenaan rekod kebangsaan miliknya iaitu 13.67 saat diperbaharui Mohamad Armin Zahryl bin Abdul Latif di Ordos, China, bulan lalu dengan catatan baru 13.58s.
Rayzam Shah membuat kira-kira prestasi semasa Armin Zahryl ketika ini hanya dibayangi pelari dari Filipina, John Cabang, yang ketika ini merupakan pemegang rekod kebangsaan negaranya menerusi catatan 13.37s.
Seiring dengan perkembangan acara pecut 100 meter, Rayzam Shah menegaskan acara kegemarannya juga melewati perubahan positif yang menyaksikan skuad kebangsaan memiliki pilihan melibatkan 3 atlet lari berpagar yang mampu berlari di bawah 14s ketika ini.
"Ini antara persembahan terbaik dalam saingan dan temasya ini kerana ada tiga pelari iaitu dari Wilayah Persekutuan, Johor dan Terengganu.
"Jadi keseluruhannya ada empat pelari Malaysia yang mampu mencapai larian 14 saat.
"Jadi sebagai tuan rumah Sukan SEA tahun depan, kita sudah dapatkan kualiti yang bagus.
"Kini terpulang kepada mereka pula untuk memastikan pingat Sukan SEA," katanya.
Kelebihan Armin Zahryl antara potensi yang mampu meletakkan pemain kelahiran Terengganu itu di posisi lebih jauh selepas ini.
"Armin mampu lakukan 13.2s dan tahun depan saya jangkakan dia akan mencapai sekitar 13.3s.
"Malah, peserta Sukma kali ini tinggi-tinggi (melebihi 180cm).
"Ketinggian mereka memang sesuai untuk acara ini. Ini satu kurniaan.
"Tak mustahil mereka mampu lari lebih bagus," katanya.