Penyerang gantian, Deniz Undav, muncul wira Jerman apabila meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan dramatik pada penghujung perlawanan untuk membantu Die Mannschaft menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026.
Keputusan itu hadir selepas Jerman ketinggalan pada separuh masa pertama meskipun tampil lebih dominan dan mencipta lebih banyak ancaman berbanding lawan mereka.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann menguasai sebahagian besar permainan dalam babak pertama, namun Ivory Coast lebih berkesan dalam memanfaatkan peluang yang terhidang. Daripada 11 percubaan yang direkodkan oleh kedua-dua pasukan sebelum rehat, Ivory Coast berjaya menghasilkan dua percubaan tepat berbanding satu sahaja buat Jerman.
Pasukan Afrika itu mendahului 1-0 menerusi jaringan berkualiti kapten mereka, Franck Kessie, yang menghukum kegagalan Jerman memanfaatkan penguasaan permainan.
Tersentak dengan kedudukan tersebut, Nagelsmann melakukan perubahan taktikal pada babak kedua dengan memasukkan Undav bagi menambah sengat serangan.
Pertukaran itu membuahkan hasil pada minit ke-68.
Nadiem Amiri menghantar bola lintang menarik dari sebelah kanan, manakala Kai Havertz bijak menarik pertahanan lawan ke tiang dekat. Bola kemudian melengkung melepasi kelompok pertahanan sebelum disambar Undav menerusi voli jarak dekat yang menembusi bumbung gawang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Jaringan tersebut menghidupkan semula semangat Jerman dan menyemarakkan suasana di Stadium Toronto.
Ivory Coast hampir meraih gol kemenangan pada minit ke-88. Kesilapan Jonathan Tah di kawasan tengah padang membolehkan Nicolas Pepe melancarkan serangan balas pantas. Pemain sayap itu memilih untuk menghantar bola kepada Simon Adingra yang berada dalam kedudukan terbaik di dalam kotak penalti, namun sentuhan pertamanya mengecewakan dan peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja.
Seminit kemudian, Jerman pula hampir mendahului apabila Nathaniel Brown melepaskan rembatan rendah yang memaksa penjaga gol Yahia Fofana melakukan aksi menyelamat cemerlang.
Fofana sekali lagi bertindak pantas beberapa minit kemudian apabila menafikan percubaan Amiri yang cuba mencari gol kemenangan buat Jerman.
Ketika perlawanan kelihatan menuju keputusan seri, Undav muncul sekali lagi pada minit-minit akhir masa tambahan.
Bermula dengan hantaran bijak Felix Nmecha yang memperdayakan pertahanan lawan, Undav melakukan larian tepat di belakang benteng Ivory Coast sebelum menerima bola di dalam kotak penalti. Penyerang itu mengawal bola dengan kemas, memusingkan badan dan melepaskan penyudah kaki kiri yang tepat untuk menewaskan Fofana.
Jaringan tersebut pada mulanya mencetuskan debaran kerana kemungkinan ofsaid, namun tayangan ulang jelas menunjukkan Undav berada dalam kedudukan sah ketika menerima hantaran.
Gol itu memastikan Jerman melengkapkan kebangkitan dramatik 2-1 dan membawa pulang tiga mata berharga.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Jerman dalam Kumpulan E, ia memastikan Jerman memadam luka dua edisi apabila tersingkir di peringkat kumpulan ketika di Russia dan Qatar.
Bagi Undav, malam di Toronto pastinya sukar dilupakan apabila dua jaringannya sebagai pemain gantian menjadikannya watak utama kebangkitan Die Mannschaft dalam salah satu perlawanan paling mendebarkan setakat ini di Piala Dunia 2026.