Permulaan sederhana di Kelantan lebih sedekad lalu menjadi pemangkin semangat dan mengubah perjalanan karier sukan Azri Azhar Amaluz.
Siapa sangka, keputusan untuk berjinak dalam sukan kriket di Kelantan mengubah masa depan Azri Azhar, yang kini menjadi salah seorang tonggak utama skuad kriket negara.
Pelbagai pencapaian luar biasa direkodkan Azri sepanjang tahun lalu, antaranya kilauan dua pingat emas dalam Sukan SEA Thailand menerusi acara T20i dan T10.
Ia melonjakkan namanya untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Putera MSSM 2025 dalam majlis Anugerah Sukan MSSM-KPM-MILO 2025.
Anugerah itu menutup musim 2026 gemilang buat Azri Azhar, yang terdahulu diangkat sebagai Olahragawan Sekolah Sukan Bukit Jalil 2025.
Perjalanan manis itu tercetus hasil permulaan bersahaja di bumi Kelantan. Kini, Azri menjadi ikon sukan kriket buat golongan belia di kampung halamannya.
"Saya duduk dan membesar di Kota Bharu, Kelantan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.
"Sebenarnya di Kelantan, sukan kriket tidak popular dan mungkin rezeki saya untuk terjebak kerana sejak kecil lagi, saya memang minat dengan sukan ini.
"Bermain kriket di Kelantan, tiada orang nampak saya, cuma di sini orang nampak saya.
"Tidak semua orang tahu mengenai sukan kriket tetapi kini sudah ramai mula tahu atas usaha saya sendiri.
"Saya ada sasaran untuk mendapatkan anugerah tertinggi dan Alhamdulillah, saya dapat.
"Saya harap saya akan berada dalam pasukan bagi Sukan SEA 2027 sepertimana dalam Sukan SEA 2025.
"Kerana tahun lalu kami telah dapatkan dua pingat emas dan dengan pasukan yang lebih kuat ketika ini, saya harap kami dapat mengekalkan dua emas itu."