Selama beberapa dekad, penyertaan Malaysia dalam Sukan SEA diukur bukan sahaja melalui jumlah pingat yang dimenangi, tetapi juga melalui prestij warnanya — emas, perak, atau gangsa.
Namun, sejak edisi Sukan SEA di Kemboja 2023 mengundang kecaman, susulan kegagalan Kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas, dengan meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa, pembuat dasar mengubah strategi.
Advertisement
Selepas kontinjen yang diketuai oleh Datuk Mohd Nasir Ali menamatkan saingan di kedudukan ke 7, iaitu pencapaian paling buruk dalam sejarah penyertaan negara, kritikan tertumpu kepada isu akauntabiliti, kepimpinan sukan, dan alasan politik yang dianggap tidak munasabah.
Ini mendorong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan yang disifatkan sebagai kontroversi apabila meletakkan sasaran jumlah pingat keseluruhan untuk Sukan Asia Hangzhou 2022, yang diadakan selepas Sukan SEA Kemboja.
Sekilas pandang, dasar ini kelihatan pragmatik. Kelompok pembuat dasar – sama ada Menteri Belia dan Sukan, serta pucuk pimpinan agensi terbabit seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) - berhujah bahawa ia mengurangkan tekanan ke atas atlet, membolehkan mereka menumpukan kepada prestasi, dan mengelakkan jangkaan yang tidak realistik.
Namun di sebalik retorik itu timbul persoalan besar: adakah meninggalkan sasaran warna pingat melemahkan semangat mereka serta menghapus kebertanggungjawaban, sedangkan Kerajaan menerusi KBS yang menerima dana awam, mengeluarkan perbelanjaan yang banyak bagi membiayai sukan prestasi tinggi?
Atlet maju dengan adanya matlamat yang jelas. Sasaran pingat emas menandakan kecemerlangan, perak melambangkan daya saing, dan gangsa mencerminkan ketahanan.
Dengan menghapuskan perbezaan warna, Malaysia berisiko menghantar mesej bahawa “apa apa pingat pun memadai.” Ini boleh secara tidak sengaja menurunkan standard prestasi dan melemahkan semangat juang untuk kemenangan yang menjadi nadi kecemerlangan sukan.
Sasaran bukan hanya untuk atlet — ia juga mengikat persatuan sukan, jurulatih, dan pentadbir kepada tanggungjawab. Tanpa penanda aras warna pingat, bagaimana kita menilai kejayaan?
Bagaimana pembayar cukai, yang membiayai latihan dan pendedahan antarabangsa, menilai sama ada pelaburan itu membuahkan hasil? Sasaran pingat yang kabur berisiko menutup kelemahan di sebalik alasan “penyertaan.”
Sukan SEA bukan sekadar pesta sukan; ia adalah pentas kebanggaan negara dan persaingan serantau.
Thailand, Vietnam, dan Indonesia terus menetapkan sasaran pingat yang berani, sering menjadikan emas sebagai penanda aras. Malaysia pula keberatan melakukan perkara sama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai semangat daya saing dan visi sukan jangka panjang kita.
Kita sedar atlet tidak seharusnya dibebani dengan jangkaan yang tidak realistik, tetapi mereka juga mesti digalakkan menyemai cita cita tinggi.
Pendekatan seimbang — menetapkan sasaran warna pingat yang realistik tetapi mencabar — boleh memberi inspirasi kepada atlet sambil mengekalkan akauntabiliti.
Hakikatnya, sukan adalah tentang mengejar kecemerlangan, bukan sekadar berpuas hati dengan penyertaan.
Dasar “tiada sasaran warna pingat” mungkin lahir daripada niat yang murni, bertujuan melindungi keadaan mental atlet tetapi ia berisiko menjadi alasan mudah untuk mediokriti.
Barangkali sasaran tanpa warna pingat lebih sesuai untuk temasya seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
Pentas Sukan SEA pula, adalah medan untuk bakal penakluk global menonjolkan bibit kehebatan. Bukan menelurkan alasan.