Pembentukan semula barisan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memiliki gabungan muka baru dan lama dan ia dilihat sebagai langkah paling realistik dalam usaha menstabilkan semula arah tuju bola sepak negara.
Selepas kesemua Exco FAM meletakkan jawatan, tumpuan kini terarah kepada struktur baharu yang bukan sahaja perlu segar daripada segi idea, malah turut memerlukan pengalaman dalam memastikan kesinambungan dasar tidak terputus.
Advertisement
Menurut pemerhati bola sepak negara, Prof Madya Dr. Zulakbal Abdul Karim, formula gabungan itu lebih sesuai berbanding membentuk satu barisan yang terdiri sepenuhnya daripada muka baharu.
Kehadiran muka baharu mampu membawa nafas baharu serta idea segar tetapi peranan muka lama pula penting untuk memastikan segala perancangan tidak lari daripada landasan serta realiti semasa bola sepak negara.
"Saya percaya FAM kini berada dalam keadaan yang sukar dan perlu membina semula imej, keyakinan dan kebolehan mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Oleh kerana itu, akan ada tampuk kempimpinan baru, di mana orang baru mereka akan ada lebih banyak tenaga, visi dan cara kerja baru tetapi mereka kurang pengalaman.
"Sepak terajang dalam bola sepak negara bukan senang, jadi orang lama yang sudah ada pengalaman, sudah ada ilmu dan memiliki hubungan baik dengan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), penting untuk membimbing generasi baru yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan itu satu hari nanti."