Di sebalik sorakan penyokong dan cahaya limpah yang akan mewarnai Stadium Negeri, Kuching City kini berdiri di persimpangan paling besar dalam sejarah kelab itu.
Bukan sekadar memburu tiga mata terakhir Liga Super, mereka membawa harapan sebuah kota yang mula percaya bahawa The Cats mampu mencipta kisah dongeng ke Asia.
Buat kali pertama, Kuching City perlu menunggu sehingga ke aksi terakhir untuk menentukan perebutan tempat kedua Liga Super.
Dan pada masa sama, mereka juga sedang menghitung hari menuju pentas akhir Piala Malaysia menentang gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Dengan kelebihan satu mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor, The Cats hanya perlu menyempurnakan tugas di laman sendiri itu ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur City malam esok.
Kuching City memiliki kelebihan berdasarkan prestasi semasa, lebih-lebih lagi lawan ketika ini bergelut dengan kemelut luar padang yang semakin memuncak.
Namun bagi ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, perlawanan tidak pernah ditentukan di atas kertas semata-mata.
"Sesetengah player pernah melaluinya tetapi kebanyakan pemain tidak, pihak pengurusan juga tidak tetapi ia adalah satu petanda baik bahawa semua orang berkeinginan untuk mencapai sesuatu yang kami inginkan dan mencipta satu lagi sejarah," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
"Apa jua keputusannya, saya tetap gembira dengan pemain dan apa yang telah kami capai -- separuh akhir Piala FA, final Piala Malaysia dan kami sedang berjuang untuk mendapatkan tempat kedua (liga).
"Ini semua adalah usaha pemain dan Presiden yang telah banyak menyokong kami.
"Apa jua keputusan, sama ada kami tamat di tangga kedua atau tiga, kami sudahpun mencipta sejarah baru.
"Tetapi sudah pasti kami mahu berjuang untuk pemain, keluarga dan penyokong. Kami akan bermain di gelanggang sendiri pada hari terakhir liga.
"Saya tidak boleh janjikannya tetapi dengan sokongan mereka, saya rasa ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik."