Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan media sebentar tadi menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan dan tohmahan pihak tertentu yang menyatakan bahawa badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak tahun 2016.
Menurut kenyataan itu, sebagai sebuah organisasi yang berintegriti, FAM ingin memperbetulkan persepsi berkenaan dan menegaskan fakta-fakta berikut:
Pematuhan Statut Tanpa Gagal:
FAM sentiasa membentangkan Laporan Kewangan yang diaudit dalam setiap Kongres Tahunan, termasuk yang terbaharu, iaitu Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, yang telah dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lalu selaras dengan peruntukan Statut FAM.
Prosedur Kelulusan Ketat:
Setiap laporan kewangan tahunan wajib melalui proses semakan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM sebelum dibawa ke Kongres Tahunan untuk kelulusan muktamad.
Audit Bertaraf Antarabangsa:
Selain juruaudit bertauliah tempatan, kewangan FAM turut diaudit secara tahunan oleh juruaudit Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Ini merupakan syarat wajib memandangkan FAM menerima peruntukan dana daripada kedua-dua badan induk dunia dan Asia tersebut.
Ketelusan Bersama Pesuruhjaya Sukan:
Sejurus mendapat kelulusan kongres, laporan kewangan tersebut akan dihantar secara rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) melalui sistem MyKBS bagi mendapatkan kelulusan.
Penjelasan Mengenai Pembentangan Bajet & Pengakuan Kekhilafan
FAM turut memperjelaskan isu berkaitan pembentangan bajet tahunan bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini:
● Tempoh 2020 hingga 2022: Susulan ketiadaan peruntukkan dalam Statut FAM pada tempoh tersebut, bajet tahunan tidak dibentangkan ddalam kongres. Bagaimanapun, bajet berkenaan tetap dibentang, disemak, dan disahkan secara telus di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM untuk kelulusan.
● Tempoh 2023 hingga 2025: Selaras dengan cadangan badan induk bola sepak dunia, FIFA, agar bajet tahunan dibentangkan dalam kongres, FAM telah meminda statutnya pada tahun 2023 bagi menambah baik tadbir urus kewangan. Bagaimanapun, FAM mengakui terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan pembentangan bajet tahunan berkenaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025.
FAM memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan proses tadbir urus pembentangan bajet kembali teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Bukti Tadbir Urus Terbaik (Good Governance)
Komitmen FAM dalam mempertahankan tahap ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang tinggi terbukti menerusi pencapaian berikut:
● Penarafan 5 Bintang PJS: Dianugerahkan penarafan lima bintang oleh Pesuruhjaya Sukan selama lima (5) tahun berturut-turut (2018 hingga 2022).
● Pengiktirafan Peringkat Asia: FAM turut mendapat pengiktirafan tertinggi di rantau Asia apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Dream Asia AFC 2019 kategori Inspirasi (Gangsa) serta diangkat sebagai diantara tiga persatuan bola sepak terbaik di rantau Asia bagi kategori Pembangunan Akar Umbi pada Anugerah AFC ke-29 di Riyadh tahun lalu.
FAM menambah badan induk itu kesal dengan cubaan pihak tertentu yang cuba menimbulkan spekulasi negatif tanpa menyemak fakta sahih dan akan terus komited menjaga nama baik bola sepak negara melalui pengurusan yang telus, berintegriti, dan sentiasa bersedia menambah baik sebarang kelemahan.