Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr. Ong Shin Ruenn, merayu agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengiktiraf sukan orang pekak dengan memberi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan kadar yang sama seperti sukan para.
Jika sebelum ini ganjaran kepada pemenang emas Deaflympics berjumlah RM80,000, MSDeaf berharap agar amaun berkenaan dinaikkan kepada RM500,000, setara dengan ganjaran Paralimpik.
Advertisement
Dr. Ong berharap kesamarataan itu dipandang serius kerana ia melibatkan pengorbanan dan hasil usaha keras atlet dalam mencapai kemenangan.
"Saya mencadangkan agar amaunnya RM500,000," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Kami mengharapkan ia setaraf dengan sukan para kerana sukannya semua sama.
"Jarak setiap temasya juga sama, SEADEAF setiap dua tahun, Sukan Pekak Asia Pasifik setiap empat tahun dan Deaflympics juga setiap empat tahun.
"Kemudian kami juga ada menyertai kejohanan, semuanya sama tetapi kenapa SHAKAM tidak sama taraf?" soalnya.