16 hingga 23 Mei depan menjadi tarikh baharu Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia bakal diadakan di Kuala Lumpur dengan Iran kekal komited dengan penyertaannya meskipun berdepan cabaran besar berikutan ketegangan di Asia Barat.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, mengesahkan skuad Iran sanggup mencari laluan alternatif untuk memastikan kehadiran mereka ke kejohanan berprestij itu.
Advertisement
Perubahan jadual asal dari 12 Mei dibuat bagi menyesuaikan penyertaan negara bertanding selain mengambil kira faktor keselamatan dan kos perjalanan yang meningkat.
Oleh kerana situasi semasa, saingan divisyen 1 berkemungkinan tidak diteruskan selepas hanya Pakistan dan Sri Lanka mengesahkan penyertaan.
Kategori premier tetap berlangsung dengan 14 negara termasuk Iran, Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, China dan Taiwan sudah mengesahkan tempat.
"Negara ini telah mengesahkan penyertaan menerusi senarai pemain dan pengesahan tiket penerbangan ke sini.
"Kejohanan ini diadakan selama lapan hari," katanya.
Terdahulu, PSM menerima tajaan peralatan bernilai RM1 juta daripada jenama Marathon untuk tempoh lima tahun bagi memperkukuh pembangunan Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASM) di Ibu Negara hari ini.