Empat tiket bagi aksi final Piala Dunia FIFA 2026 dilaporkan tersenarai pada harga luar biasa melebihi ASD2 juta (sekitar RM9.5 juta) setiap satu di platform jualan semula rasmi FIFA, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak global.
Menurut laporan media antarabangsa, tiket tersebut -- yang dijual hampir ASD2.3 juta (RM10.9 juta) setiap satu -- adalah untuk perlawanan final yang dijadual berlangsung pada 19 Julai di Stadium MetLife, New Jersey.
Advertisement
Apa yang lebih mengejutkan, tempat duduk berkenaan bukanlah kategori paling premium, sebaliknya terletak di belakang gol di bahagian bawah stadium.
Harga melambung ini bagaimanapun bukan ditetapkan oleh FIFA secara langsung, sebaliknya ditentukan oleh penjual di platform rasmi 'resale marketplace'.
Namun, badan induk bola sepak dunia itu tetap meraih keuntungan melalui caj komisen sekitar 15 peratus bagi setiap transaksi pembelian dan penjualan.
Selain tiket bernilai jutaan dolar tersebut, terdapat juga pilihan lain di platform sama dengan harga yang lebih 'rendah', termasuk sekitar ASD207,000 (RM980,000) untuk tempat duduk lorong dan kira-kira ASD138,000 (RM650,000) bagi tempat duduk di tingkat atas. Malah, tiket termurah bagi final masih mencecah lebih ASD10,000 (RM47,000).
Fenomena ini mencerminkan permintaan luar biasa terhadap acara terbesar bola sepak dunia, namun dalam masa sama mengundang kritikan hebat terhadap sistem harga dinamik yang digunakan FIFA.
Ramai pemerhati melihat ia semakin menjauhkan peminat biasa daripada peluang menyaksikan aksi final secara langsung.
Sebagai rekod, aksi final Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di Stadium MetLife yang berkapasiti lebih 80,000 penonton, sekali gus menjadikannya antara pentas terbesar dalam sejarah kejohanan itu.