Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, beranggapan Selangor mahupun Buriram United yang menjuarai Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee layak diisytiharkan sebagai 'Raja ASEAN'.
Selangor menewaskan pasukan dari Vietnam, Nam Dinh, 4-1 secara agregat dalam saingan separuh akhir baru-baru ini untuk melayakkan diri ke pentas akhir dengan kelab gergasi Thailand, Buriram United, akan menanti mereka di pentas final nanti.
"Kalau sesebuah pasukan menjuarai kejohanan kelab ASEAN, maka mereka bolehlah mengisytiharkan diri sebagai Raja ASEAN. Itu asasnya.
"Kita bercakap mengenai realiti dalam bola sepak. Untuk diiktiraf sebagai juara, mesti ada platform dan kejohanan rasmi yang mengiktiraf pencapaian itu.
"Kalau di Malaysia, pasukan yang menjuarai Liga Super ialah juara liga. Tak boleh pasukan di tempat kedua atau ketiga mendakwa mereka lebih hebat hanya kerana pernah menewaskan juara.
"Tak kisahlah kalau Selangor tidak juara Liga Super. Mereka berada dalam kejohanan ini berdasarkan merit dan pencapaian.
"Jadi, siapa yang menang final nanti, merekalah juara kelab ASEAN yang sebenar.
"Kita tak boleh kata kejuaraan itu tak penting hanya kerana pasukan tersebut tidak menjuarai liga domestik musim ini." katanya seperti dilaporkan Sinar Harian
Pentas akhir pertama akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu depan, manakala final kedua di Stadium Buriram, Thailand, pada 27 Mei nanti.