Demikian kenyataan Hafiz Zainal Abidin berkenaan status dirinya bersama pasukan itu, yang sah tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan.
Jelas Hafiz, keputusan itu diambil atas faktor memberi laluan kepada muka baru bagi memacu kelab itu ke arah yang lebih baik.
Tanpa berselindung, Hafiz akui bukan mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada The Cops, terutama selepas enam tahun memikul tugas selaku CEO (ketua Pegawai Eksekutif).
Hafiz turut mengesahkan segala tunggakan gaji Sang Saka Biru musim lalu telah dilunaskan sepenuhnya sebelum dia melepaskan jawatan.
Antara pencapaian terbaik PDRM di bawah pimpinannya ialah mara ke final MFL Challenge Cup dua kali berturut-turut, yang menyaksikan mereka bergelar juara edisi 2023.
"Secara rasminya pada 15 Julai, saya telah menerima satu surat rasmi untuk melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Secara dasarnya, ia bukan sekadar jawatan, saya memang berpegang kepada amanah.
"Apabila anda diletakkan di sesuatu tempat dan anda telah dilantik sama ada sukarela atau tidak, anda telah diamanahkan sepenuhnya untuk melaksanakan sepenuhnya apa tanggungjawab yang telah diberikan.
"Dan saya berpegang, selagi saya masih seorang pegawai polis, saya tidak akan meninggalkan kelab yang bernama PDRM FC dan Alhamdulillah, selepas selesainya musim 2025-26, semua tunggakan gaji yang tertunggak buat mana-mana pemain atau pegawai, sudah diselesaikan sepenuhnya."